Lebih $50,000 zakat diagihkan

Lebih $50,000 zakat diagihkan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Sejumlah $52,600 agihan wang zakat telah disampaikan pada Majlis Penyerahan Bantuan Asnaf Fakir Miskin dan Derma kepada Anak-anak Yatim serta Warga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang memerlukan bagi tahun 1437H/2016M yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Pada majlis itu, seramai 50 orang ketua keluarga serta 69 orang tanggungan daripada Asnaf Fakir Miskin menerima agihan wang zakat, yang mana setiap ketua keluarga mendapat $500 dan setiap seorang yang di bawah tanggungannya mendapat $400.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim.

Sementara itu, seramai 39 orang anak yatim (22 lelaki dan 17 perempuan) daripada warga KHEU dan empat orang warga KHEU yang memerlukan turut menerima sumbangan di majlis tersebut.

Selain memohon keberkatan dan mendapatkan pahala yang berlipat ganda di bulan yang mulia ini, majlis tersebut menunjukkan sikap prihatin warga KHEU kepada anak-anak yatim warga kementerian tersebut agar mereka dapat sama-sama berasa gembira di Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Di samping itu, majlis berkenaan juga menyemai rasa tanggungjawab dalam memeduli orang-orang yang kurang bernasib baik, serta salah satu cara untuk mempererat hubungan sesama warga KHEU.

ARTIKEL YANG SAMA