Lebih 60 anak yatim dirai

Lebih 60 anak yatim dirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Lebih 60 orang anak yatim dari Mukim Berakas A telah diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Dewan Perniagaan India Brunei Darussalam yang berlangsung di Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji A. Ahmad bin Hussain dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Nagma Mohamed Mallick.

Kehadiran kedua-dua tetamu kehormat berkenaan dialu-alukan oleh Presiden Dewan Perniagaan India Brunei Darussalam, Nazeer Ahmad Zakaria yang turut disertai 10 lagi ahli eksekutif dewan perniagaan berkenaan.

Sejurus selepas bacaan tahlil di awal majlis, perwakilan Dewan Perniagaan India mengalu-alukan tetamu kehormat majlis untuk menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim yang dijemput hadir ke majlis berkenaan.

Menurut jurucakap dewan perniagaan berkenaan, Haji Hidayatullah bin Haji Tajuddin, acara kebajikan ini merupakan acara tahunan bagi menyemarakkan bulan penuh keberkatan ini.

Nagma Mohamed Mallick (tengah) bersama Presiden Dewan Perniagaan India (kanan) dan isterinya (kiri) pada majlis itu.
Nagma Mohamed Mallick (tengah) bersama Presiden Dewan Perniagaan India (kanan) dan isterinya (kiri) pada majlis itu.

“Sebelum ini, beberapa siri sumbangan turut dibuat di beberapa lokasi yang berbeza dan sumbangan merupakan dana yang dikumpulkan bersama semua ahli eksekutif dewan perniagaan bagi membantu anak-anak yatim terutama dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri,” jelas beliau.

Bagi mewakili dewan perniagaan, beliau melahirkan rasa berbesar hati untuk terus melihat acara berkebajikan ini semakin membesar dan berkembang daripada setahun ke setahun.

“Pucuk kepimpinan kami sangat mengalu-alukan acara berkebajikan seperti ini kerana kami percaya anak-anak yatim turut wajar menyambut bulan keberkatan Ramadan Al-Karim dan sambutan Aidilfitri dalam suasana yang gemilang,” tambah beliau.

Mengulas mengenai perancangan dewan perniagaan, katanya, pihak mereka sudah mengatur beberapa lagi aktiviti bagi membantu mereka yang memerlukan dan akan mengumumkannya kepada pihak terlibat sedikit masa lagi.

ARTIKEL YANG SAMA