Lebih 60 penghuni Rumah Kebajikan terima sumbangan

Lebih 60 penghuni Rumah Kebajikan terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Lebih 60 orang Penghuni Rumah Kebajikan Taman Nur Hidayah Kampung Belimbing hari ini menerima sumbangan berupa wang dan makanan ringan sempena bulan Ramadan ini yang diadakan di dewan serba guna rumah kebajikan berkenaan.

Hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Yang Di-Pertua Persatuan Siswazah Wanita (PSW), Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin.

Majlis anjuran PSW ini telah dimulakan dengan majlis bertahlil beramai-ramai dan diteruskan dengan doa khusus bagi mereka yang telah kembali ke rahmatullah.

Ia kemudian diserikan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Awang Nazirul Mubin bin Ahad, dan seterusnya majlis berbuka puasa bersama-sama penghuni rumah kebajikan, para petugas rumah kebajikan dan ahli PSW.

Antara yang hadir pada majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa yang diadakan di Rumah Kebajikan Kg. Belimbing.
Antara yang hadir pada majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa yang diadakan di Rumah Kebajikan Kg. Belimbing.

Menurut PSW, persatuan berkenaan merupakan sebuah persatuan bukan kerajaan yang ditubuhkan sejak tahun 1990.

Sejak penubuhannya 26 tahun yang lalu, persatuan yang berpaksikan profesionalisme ini telah banyak kali mengendalikan program-program dan kegiatan-kegiatan profesional, akademik dan kemasyarakatan sesuai dengan penubuhannya.

Dalam pada itu, majlis ini juga merupakan salah satu aktiviti tahunan persatuan dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan serta meraih kemanfaatan dan ganjaran pahala pada bulan yang penuh rahmat ini.

ARTIKEL YANG SAMA