Lebih 60 pengkomplot dihantar pulang

Lebih 60 pengkomplot dihantar pulang

PHNOM PENH, Kemboja, 21 Sept – Kemboja telah menghantar pulang 50 warga China dan 13 warga Taiwan ke China disebabkan komplot internet, memenuhi permintaan dari Beijing, kata seorang pegawai kanan polis hari ini.

Tersangka dibawa keluar dari Kemboja semalam, kata Jeneral Ouk Haiseila, ketua Biro Siasatan Imigresen Kementerian Dalam Negeri Kemboja. Beliau berkata kerajaan China menghantar sebuah kapal terbang khas dari Beijing untuk membawa mereka pulang.

Pada Jun, Taiwan membantah selepas Kemboja menghantar pulang 25 tersangka komplot internet Taiwan ke China dalam penghinaan terbaru pulau berkenaan. Kemboja menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada China.

Kumpulan 63 tersangka terbaru ditahan pada akhir bulan lalu di sebuah rumah sewa di Phnom Penh, ibu negara Kemboja. Mereka dituduh menipu mangsa di China menggunakan panggilan telefon yang dilakukan di internet.

Sejak 2012, sekurang-kurangnya 982 warga China dan Taiwan yang dituduh mengambil bahagian dalam komplot internet telah ditahan dan dihantar pulang ke China, menurut Ouk Haiseila.

Walaupun perlembagaan Taiwan menetapkan secara formal bahawa ia dan China adalah sebahagian daripada sebuah negara China, Taiwan berfungsi seperti sebuah negara bebas dan tidak mengiktiraf kuasa Beijing ke atas negara berkenaan.

Aktivis hak dan pihak berkuasa Taiwan berkata penghantaran sedemikian mencerminkan pengaruh besar China ke atas Kemboja menerusi bantuan dan pelaburan.

China adalah sekutu utama dan rakan ekonomi Kemboja. Ia telah memperuntukkan berjuta-juta dolar dalam bantuan dan pelaburan dalam tempoh satu dekad lalu, bersetuju untuk menghapus kira hutang dan memberinya status tarif percuma untuk beratus produk.

Kenya dan Malaysia juga telah menghantar pulang pengkomplot internet Taiwan ke China meskipun bantahan daripada pegawai Taiwan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA