Lebih 600 hadiri Jerayawara Kenali ASEAN

Lebih 600 hadiri Jerayawara Kenali ASEAN

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Dalam usaha untuk memberikan pendedahan dan menyalurkan maklumat yang luas mengenai ASEAN, Jabatan Penerangan melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatan-kuasa Kecil Penerangan (ASEAN-COCI), pagi tadi, telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Dewan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengetua STPRI, Hajah Susilawati binti Dato Paduka Haji Muhammad. Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Awang Abdul Karim bin Hamdan.

Taklimat dalam jerayawara yang dihadiri lebih 600 orang penuntut Tahun 7 hingga 9 itu telah disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Isa bin Haji Abdul Rahman.

Beliau antara lain menyentuh mengenai pengenalan apa itu ASEAN, moto ASEAN, prinsip-prinsip utama ASEAN, bendera dan logo ASEAN serta banyak lagi.

Jerayawara ini memberi fokus kepada golongan belia yang berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara ini dalam mewarnai corak peradaban bangsa untuk membentuk generasi pelapis.

Pengetua sekolah hadir semasa jerayawara tersebut.
Pengetua sekolah hadir semasa jerayawara tersebut.

Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui ASEAN dengan menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN yang selaras dengan moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

Jerayawara yang berbentuk sesi taklimat mengetengahkan maklumat mengenai Wawasan 2035 selaras dengan statistik perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau.

Jerayawara itu juga diisikan dengan kuiz kenali ASEAN di mana pada akhir jerayawara itu, tetamu kehormat majlis menyampaikan hadiah kepada 10 orang penuntut yang berjaya menjawab kuiz tersebut.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan dalam kalangan penuntut bagi sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya pada penuntut di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA