Lebih 6,000 sertai Larian Hari Keputeraan

Lebih 6,000 sertai Larian Hari Keputeraan

Oleh Salawati Haji Yahya, Normazlina M.D, Hajah Saemah Kepli & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Gambar Muiz Matdani, Normazlina M.D, Hajah Saemah Kepli & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Lebih 6,000 orang telah menyertai Larian Hari Keputeraan 2016 yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, hari ini, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70.

Larian kali ini telah mencatat peningkatan dalam jumlah penyertaan dengan seramai 6,434 orang

telah mendaftar, dan daripada jumlah itu, Daerah Brunei dan Muara mencatat seramai 4,376 orang, Daerah Belait seramai 520 penyertaan, Daerah Tutong seramai 1,051 orang dan Daerah Temburong mencatatkan seramai 487 penyertaan.

Acara larian anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan itu buat julung-julung kalinya telah dikepalai oleh menteri-menteri kabinet yang memperlihatkan sukan tidak mengira strata sosial untuk bergaul dan beramah mesra yang merupakan amalan baik orang-orang Brunei.

Mengepalai larian di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan turut hadir menyertai dalam larian bagi daerah ini ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan ikut serta dalam acara Larian Hari Keputeraan di Daerah Brunei dan Muara.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan ikut serta dalam acara Larian Hari Keputeraan di Daerah Brunei dan Muara.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi merasmikan Larian Hari Keputeraan 2016 bagi setiap kategori di Daerah Tutong.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi merasmikan Larian Hari Keputeraan 2016 bagi setiap kategori di Daerah Tutong.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin, menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang acara Larian Hari Keputeraan ke-70 Tahun bagi Daerah Belait.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin, menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang acara Larian Hari Keputeraan ke-70 Tahun bagi Daerah Belait.
Para pemenang kategori Terbuka Wanita bergambar ramai bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain di Daerah Temburong. – Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Para pemenang kategori Terbuka Wanita bergambar ramai bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain di Daerah Temburong. – Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Sementara itu, pelepasan peserta larian bagi Daerah Belait yang berlangsung di Taman Persiaran Jalan Sungai Kuala Belait disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah; bagi Daerah Tutong di Kompleks Sukan Tutong ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan bagi Daerah Temburong yang diadakan di Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Larian berkenaan telah dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita 10 km, kategori lelaki dan wanita veteran 10 km, kategori remaja lelaki dan perempuan 5 km, kategori lelaki dan wanita Veteran 3 km, kategori orang berkeperluan khas lelaki dan wanita 3 km serta kategori terbuka Fun Run sejauh 3 km.

Acara di keempat-empat daerah telah didahului dengan senamrobik bagi memanaskan badan sebelum pelepasan para peserta bermula. Para pemenang bagi setiap kategori telah membawa pulang hadiah wang tunai berserta pingat dan sijil penyertaan.

Ketika sesi memanaskan badan dimulakan sebelum mengadakan larian.
Ketika sesi memanaskan badan dimulakan sebelum mengadakan larian.

pg04_160805_c

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKBS, Larian Hari Keputeraan 2016 ini merupakan pendekatan untuk rakyat dan penduduk negara ini merafakkan kesyukuran dan merayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun melalui cabang sukan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan cara hidup sihat dengan melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah secara berterusan serta memupuk perpaduan, persefahaman dan kerjasama dalam kalangan lapisan masyarakat ke arah pembangunan dan kemajuan sukan untuk negara.

Aktiviti larian yang menjadi kegemaran orang ramai dapat menyatukan pelbagai peringkat golongan dan lapisan masyarakat terutamanya belia dan beliawanis tanpa meninggalkan golongan tua dan kanak-kanak.

Sejurus selesai menamatkan larian dalam acara ini, peserta larian juga tidak ketinggalan menandatangani papan tanda untuk menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

KKBS turut menyatakan bahawa mereka akan terus-menerus mengusahakan projek-projek sukan untuk masyarakat ke arah memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti larian untuk dibudayakan sekali gus menghidupkan sukan berasaskan larian di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA