Lebih 68,500 pelarian dicatatkan dalam operasi ketenteraan Mosul

Lebih 68,500 pelarian dicatatkan dalam operasi ketenteraan Mosul

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 22 Nov – Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan bahawa pada hari Ahad, Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencatatkan lebih daripada 68,500 orang sebagai pelarian oleh kerana operasi tentera untuk merebut kembali kota Iraq, Mosul, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada pemberita di sini semalam.

Ini adalah satu peningkatan daripada hampir 60,000 orang dalam hanya tiga hari sebelum ini, Dujarric berkata pada taklimat harian media di sini.

“Satu penilaian kesihatan dijalankan di Kem Zelikan, timur laut Mosul, menunjukkan keperluan segera dan meluas bagi bantuan psikososial di kalangan keluarga pelarian, dengan hampir tiga suku daripada mereka yang ditemu bual menyatakan bahawa mereka pada tahap penderitaan yang tinggi,” kata Dujarric.

Rakyat Iraq yang melarikan diri pertempuran antara militan Islamic State dan tentera Iraq, membawa barang milik mereka apabila mereka tiba untuk menetap di kem bagi orang-orang pelarian, di Khazer timur Mosul, Iraq, kelmarin. – AP

Pada 14-20 November, sokongan psikososial telah diberikan kepada lebih daripada 1,000 wanita dan lebih daripada 160 orang yang terjejas akibat konflik Mosul, katanya.

Hampir 1,200 kanak-kanak lelaki dan hampir 1,100 kanak-kanak perempuan menerima pertolongan cemas psikologi di dalam ruang mesra kanak-kanak, kata jurucakap itu.

Rakan kemanusiaan juga memohon pembiayaan bagi Pelan Tindakan Kemanusiaan Iraq 2016 yang dilancarkan pada bulan Januari. – Xinhua