Lebih $695 juta bagi Kementerian Pendidikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Kementerian Pendidikan diperuntukkan sebanyak $695,862,240 bagi perbelanjaan tahun kewangan 2018/2019 di mana sebanyak $499,104,885 disediakan untuk gaji kakitangan manakala itu, $196,757,355 bagi perbelanjaan berulang-ulang dan perbelanjaan kemajuan sebanyak $13,480,750.

Kementerian Pendidikan amat bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan keutamaan kepada pendidikan dengan penyediaan peruntukan yang tinggi di sebalik keadaan ekonomi negara yang mencabar.

“Ini adalah semata-mata untuk memastikan perancangan pembangunan pendidikan negara yang berkualiti tinggi serta pembangunan kapasiti tenaga manusia dapat diteruskan demi menjamin kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.”

Peruntukan bagi Kementerian Pendidikan itu dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hamzah bin Sulaiman semasa Majlis Mesyuarat Negara bersidang bagi hari ketujuh di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Dalam hubungan itu, jelasnya lagi, kementeriannya akan memastikan peruntukan yang disediakan dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengambil langkah berhemah dan berbelanja mengikut keutamaan, nilai untuk wang dan penghasilan impak yang maksima.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hamzah.

“Sebagai peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga manusia di negara ini, Kementerian Pendidikan mempunyai amanah besar dalam mendukung hasrat melahirkan generasi yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi dalam mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035.”

Beliau dalam pembentangnya lagi menyatakan bahawa rakyat dan penduduk yang mempunyai nilai tinggi terhadap agama, berpendidikan, sihat, berdaya tahan dan produktif adalah diperlukan bagi mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju.

Oleh itu, sistem pendidikan di Negara Brunei Darussalam telah mengecapi pencapaian yang signifikan termasuklah daripada segi infrastruktur, kemudahan, guru, kurikulum dan akses kepada pendidikan yang merangkumi daripada peringkat rendah, menengah, pendidikan teknikal hinggalah ke pengajian tinggi.

Beliau menerangkan lanjut bahawa semua pencapaian itu, tidak harus menjadi alasan untuk kita berpuas hati dan bersikap sambil lewa.

“Dalam suasana sosioekonomi dunia yang semakin maju lagi sentiasa berubah, keperluan peningkatan kualiti pendidikan adalah semakin mencabar dan menghendaki Kementerian Pendidikan menyahutnya dengan sentiasa bersikap peka dan proaktif.

“Sudah tiba masanya di mana anak bangsa ataupun generasi baru kita tidak lagi hanya bersaing di dalam negeri kerana dalam era Revolusi Industri keempat (Fourth Industrial Revolution) ini mereka adalah menjadi warga global yang perlu kompetitif dan berdaya tahan untuk kelangsungan mereka.”

Perkembangan dan inovasi teknologi kini yang pantas, jelas Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hamzah, telah membawa transformasi kepada cara kehidupan, komunikasi, urus tadbir (governance), perhubungan dan perniagaan.

Oleh itu, persediaan dan respons yang komprehensif lagi merentasi semua pihak yang berkepentingan baik di sektor awam dan swasta mahupun masyarakat, adalah perlu memandangkan skop dan kerumitan yang bakal ditempuhi adalah tidak pernah dialami sebelum ini.

Oleh demikian, penyediaan sumber tenaga manusia dan bakat yang dinamik merupakan kunci kepada keupayaan negara untuk terus mampu bersaing.

“Kapasiti sumber tenaga manusia yang tinggi sudah setentunya akan menarik pelaburan langsung asing yang diperlukan untuk mempelbagaikan lagi sumber hasil ekonomi negara kita.

“Dalam erti kata lain, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha melahirkan modal insan yang berilmu dan bertamadun yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ini juga adalah selaras dengan visi Kementerian Pendidikan iaitu ‘Pendidikan Berkualiti, Negara Dinamik’ serta misinya ‘Untuk Memberikan Pendidikan Holistik Bagi Mencapai Potensi Sepenuhnya Untuk Semua,” tambah beliau.