Lebih 7 juta untuk 7 koperasi

Lebih 7 juta untuk 7 koperasi

PUTATAN, 14 Dis (Bernama) – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM7.41 juta kepada tujuh koperasi di Sabah di bawah Tabung Modal Pusingan (TMP) tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata tujuh permohonan yang diluluskan itu merupakan antara 21 buah koperasi yang memohon TMP sehingga 30 November 2015 berjumlah RM40.36 juta.

“Baki 14 permohonan masih dalam tindakan ibu pejabat SKM,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Negeri Sabah (MPKN) 2015 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sabah, Umar Sarim Saidin.

Yahya yang juga Pengerusi MPKN Sabah berkata, SKM juga meluluskan permohonan Geran Bantuan Pembangunan bernilai RM725,000 kepada 17 koperasi di Sabah daripada 32 koperasi yang memohon geran bantuan itu di negeri berkenaan dengan jumlah permohonan sebanyak RM1.95 juta.

Katanya, SKM berharap pembiayaan dana melalui pinjaman TMP serta pemberian geran bantuan kepada koperasi yang terpilih akan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh koperasi dalam membangun dan memantapkan aktiviti masing-masing, agar boleh menjana pendapatan yang tinggi serta dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan anggota koperasi.

Sehingga 30 November 2015, sebanyak 1,264 koperasi berdaftar di Sabah dengan keanggotaan seramai 344,374 orang dengan modal syer dan yuran sebanyak RM135.2 juta, aset bernilai RM693.5 juta serta perolehan sebanyak RM154.5 juta setakat Jun 2015.

Yahya berkata, sepanjang tahun 2015, SKM melaksanakan pelbagai program pembangunan perniagaan, antaranya ialah pelaksanaan Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), pusat pengumpulan, Sub-pusat pengumpulan dan pasar raya.

Sementara itu, Yahya berkata, SKM telah mengambil langkah mengkaji semula pencapaian Dasar Koperasi Negara kedua(2011-2020) bagi menilai, memperkukuh dan mengkaji semula strategi dasar tersebut yang telah memasuki tahun akhir bagi jangka masa sederhana yang bermula dari Januari 2013 hingga Disember 2015.

“Selain itu, SKM juga akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk membuat semakan semula ke atas Akta 502 secara menyeluruh,” katanya.

Mengenai MPKN, beliau berkata ia diwujudkan sebagai platform bagi menentukan hala tuju pembangunan gerakan koperasi di samping meningkatkan kerjasama antara pihak yang terlibat dengan pembangunan koperasi.

ARTIKEL YANG SAMA