Lebih 70 bersih tanah perkuburan

Lebih 70 bersih tanah perkuburan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Jun – Lebih 70 orang bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Bukit Sawat, dalam kerja amal anjuran Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd melalui Jabatan Perundangan dan Komunikasi LNG, kelmarin.

Kerja amal berkenaan merupakan aktiviti tahunan syarikat berkenaan dengan kerjasama Balai Bomba Sungai Liang dan Balai Bomba Labi, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Bukit Sawat dan Merangking, yang turut disertai sama oleh Pasukan Petindak Kecemasan Komuniti Mukim Liang.

Turut hadir menyertai kempen tersebut ialah Ketua Pengurusan Perundangan dan Komunikasi Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Awang Mohd Husini bin Haji Bakar; Pengerusi Bersama Pasukan Petindak Kecemasan Komuniti Mukim Liang, Awang Ashady bin Haji Bolhasan; Penghulu Mukim Liang, Haji Abdul Hamid bin Haji Momin; Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohamad Abdullah, Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang SO Mohammad Ali bin Hassan dan Stesen Komander Balai Bomba Labi, DSO Abdul Wahid bin Haji Abdullah.

Kempen ini diadakan bersempena menjelangnya bulan Ramadan yang hanya tinggal kira-kira seminggu sahaja lagi, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka.

Para peserta kempen bergotong royong bersih tanah perkuburan.
Para peserta kempen bergotong royong bersih tanah perkuburan.

SO Muhammad Ali memberitahu Media Permata, kempen juga telah diteruskan dengan gotong-royong membersihkan Masjid Kampung Bukit Sawat Labi, kemudiannya diikuti dengan bacaan tahlil dan doa arwah yang diketuai oleh Imam Masjid Bukit Sawat, Haji Ahmad bin Haji Othman.

ARTIKEL YANG SAMA