Lebih 70 maut nahas lori tangki

Lebih 70 maut nahas lori tangki

ONITSHA, Nigeria, 2 Jun (Reuters) – Sehingga 70 orang terbunuh di Nigeria, kebanyakan mereka maut dalam keadaan terbakar, apabila sebuah lori tangki minyak petrol merempuh sebuah stesen bas yang sibuk di bandar tenggara Onitsha Ahad lepas lalu meletup, menurut para pegawai Palang Merah.

Berbelas-belas yang lain mengalami kecederaan dalam insiden itu, yang menyaksikan 13 kenderaan lain turut terbakar.

“Kebanyakan mangsa dalam keadaan rentung tanpa dapat dikenali,” Emeka Kachi, naib presiden Palang Merah tempatan, berkata semalam.

“Kami memindahkan mayat mangsa ke sebuah hospital bagi ujian DNA bagi membolehkan ahli keluarga mengenal pasti mereka untuk upacara pengebumian.”

Seorang jurucakap polis berkata lori tangki berkenaan dalam keadaan dipandu terlalu laju sehingga ia gagal dikawal. Beliau meletakkan jumlah kematian pada 23 orang, dengan tujuh mengalami kecederaan.

Muhammadu Buhari, yang mengangkat sumpah sebagai presiden Nigeria Jumaat lepas, menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan sanak saudara mereka.

Kemalangan itu berlaku lima hari selepas tamatnya mogok oleh para penjual minyak, yang menghentikan pengedaran sebagai sebahagian pertikaian mengenai bayaran oleh kerajaan yang terdahulu. Sementara Nigeria adalah pengeluar minyak mentah Afrika terbesar, keadaan loji penapisnya yang terabai menyebabkan negara itu bergantung keseluruhannya ke atas import bagi 40 juta liter gasolin yang ia gunakan setiap hari.

ARTIKEL YANG SAMA