Lebih 70 peratus penduduk bekerja

Lebih 70 peratus penduduk bekerja

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Bagi tahun 2014, jumlah penduduk yang bekerja adalah seramai 189,600 dengan 72.5 peratus daripadanya adalah terdiri daripada pekerja tempatan.

Hampir kesemua orang yang bekerja terdiri daripada; pekerja (91.7 peratus), manakala itu, selebihnya adalah majikan (3.7 peratus), pekerja akaun sendiri (4.1 peratus) dan pekerja keluarga (0.5 peratus).

Statistik ini dikongsi oleh Pemangku Ketua Pengarah Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Haji Abdul Amin bin Haji Hashim semasa Sidang Akhbar Laporan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2014, yang berlangsung di Institut Teknologi Brunei, hari ini.

Kajian berkenaan dikendalikan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bermula 29 September hingga 26 Oktober 2014.

Haji Abdul Amin semasa mengongsikan statistik JPKE.
Haji Abdul Amin semasa mengongsikan statistik JPKE.

Menjelaskan lanjut penemuan-penemuan dalam laporan akhir kajian itu, Haji Abdul Amin berkata pekerjaan banyak tertumpu dalam sektor perkhidmatan iaitu 77.7 peratus, terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit (11.3 peratus) dan pentadbiran awam (26.2 peratus).

Manakala itu, pertanian hanya menyumbangkan 0.5 peratus dan industri menyumbangkan 17.9 peratus daripada jumlah pekerjaan.

Tiga kumpulan pekerjaan tertinggi adalah pekerja perkhidmatan dan jualan iaitu sebanyak 19.5 peratus, diikuti oleh profesional sebanyak 17.0 peratus, dan juruteknik dan profesional bersekutu sebanyak 16.2 peratus.

Mengikut laporan KTK 2014 itu juga, kira-kira 18,000 orang bekerja dalam sektor tidak formal, yang bersamaan dengan kira-kira 9.5 peratus daripada jumlah pekerjaan, yang terdiri daripada semua perusahaan perniagaan swasta tidak berdaftar yang tidak menyimpan rekod akaun termasuk pembantu rumah yang bekerja dengan isi rumah.

Haji Abdul Amin juga mengongsikan bahawa purata jam kebiasaan bekerja dalam seminggu pada pekerjaan utama ialah 46.8 jam, yang mana purata bagi perempuan lebih rendah pada 46.1 jam, berbanding lelaki 47.3 jam.

Pada tahun 2014, penduduk dalam kumpulan umur bekerja (15 tahun dan ke atas) adalah 310,500 orang, dengan 249,800 orang penduduk tempatan dan 60,700 orang penduduk sementara.

Manakala itu, kadar penyertaan tenaga kerja adalah 65.6 peratus, jauh lebih tinggi dalam kalangan penduduk sementara (86.7 peratus) daripada penduduk tempatan (60.4 peratus).

Purata pendapatan sebulan daripada semua pekerjaan pula adalah $1,874 bagi setiap orang yang bekerja dengan pekerja tempatan memperolehi pendapatan lebih tinggi sebanyak $2,065 secara purata, berbanding $1,374 bagi pekerja asing.

Beliau juga melaporkan bahawa jumlah penduduk yang menganggur adalah seramai 14,100 orang yang mana kadar pengangguran telah menunjukkan penurunan daripada 7.9 peratus pada tahun 2008 kepada 6.9 peratus pada tahun 2014.

Objektif utama kajian ini adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan ciri-ciri ekonomi yang lain bagi penduduk.

KTK 2014 dikendalikan selaras dengan piawaian antarabangsa terkini yang telah diluluskan semasa Persidangan Antarabangsa bagi Perangkaan Tenaga Kerja (ICLS) ke-19 pada tahun 2013. Laporan Awal KTK 2014 telah dikeluarkan pada bulan Julai 2015.

Dalam kesempatan itu, Haji Abdul Amin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan JPKE kepada semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terutamanya keluarga yang telah terpilih dalam kajian ini atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kajian.