Lebih 700 meriahkan Aidilfitri

Lebih 700 meriahkan Aidilfitri

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal juga tidak melepaskan peluang untuk mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Hangar School of Aviation, kampus berkenaan, di sini, hari ini.

Sambutan hari raya yang dihadiri lebih 700 orang pelajar di kampus berkenaan merupakan aktiviti kampus berkenaan bagi memeriahkan lagi bulan Syawal tahun ini.

Hadir ke majlis sambutan itu ialah Pengetua IBTE Pusat, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Haji Hamid yang juga berkesempatan menyampaikan ucapan.

Dr. Sheikh Lukman dalam ucapannya berharap majlis ini akan dapat memberi peluang kepada semua warga IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim sambil menikmati juadah yang telah disediakan.

Suasana Hari Raya yang diserikan dengan pelbagai hidangan.
Suasana Hari Raya yang diserikan dengan pelbagai hidangan.
Antara para pelajar yang hadir memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Raya berkenaan.
Antara para pelajar yang hadir memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Raya berkenaan.

“Sambutan ini secara tidak langsung, dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan kita semua terutama bagi seluruh warga yang beragama Islam. Ia juga memberi kesempatan kepada kita untuk bermaaf-maafan dan juga mengukuhkan lagi persahabatan dan kekeluargaan yang sedia terjalin.”

Menurut beliau lagi, walaupun semangat kekeluargaan di tempat bekerja atau tempat pengajian ini tidak setebal pertalian keluarga sendiri, ia tidak kurang pentingnya dalam menentukan keharmonian sesebuah organisasi dan seterusnya juga di negara ini.

“Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, kita seharusnya mengamalkan sikap bekerjasama di antara satu sama yang lain bagi menyumbangkan kepada pembangunan negara,” ujar Dr. Sheikh Lukman.

Sambutan itu turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan menarik, sesi bersalam-salaman bersama murid dan guru-guru kampus berkenaan di samping menikmati pelbagai hidangan yang disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA