Lebih 700 pelajar baru daftar pengajian di UBD

Lebih 700 pelajar baru daftar pengajian di UBD

Oleh Sim Y. H. & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Bagi lebih 700 orang pelajar yang baru memasuki Universiti Brunei Darussalam (UBD), ia bukan sahaja merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan tetapi merupakan satu perjalanan ke peringkat kehidupan baru bagi mereka yang bakal menjadi laluan ke arah haluan kehidupan dewasa mereka.

Oleh itu, program Minggu Pelajar Baru merupakan program tahunan UBD bagi mengalu-alukan para pelajar baru UBD dan juga untuk memperkenalkan mereka kepada modul kursus serta membiasakan diri mereka kepada suasana pembelajaran di UBD.

Perkara itu dinyatakan oleh Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Hitam dalam kata alu-aluannya pada Perasmian Minggu Pelajar Baru UBD bagi Pengambilan Januari 2016 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan khas pada majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor UBD, Profesor Madya Dr. Haji Azman bin Ahmad.

Awang Saidai dalam kata alu-aluannya menyatakan lagi bahawa program itu diharap dapat memberikan pendedahan dan menerapkan elemen-elemen budaya pembelajaran di universiti iaitu mendedahkan berkenaan peralihan daripada sistem pembelajaran di sekolah menengah ke sistem pembelajaran peringkat universiti yang berlainan dari segi teknik pembelajaran dan juga persekitaran.

Profesor Madya Dr. Haji Azman yang menghadiri majlis berkenaan.
Profesor Madya Dr. Haji Azman yang menghadiri majlis berkenaan.
Awang Saidai menyampaikan kata alu-aluannya.
Awang Saidai menyampaikan kata alu-aluannya.

Sepanjang program empat hari itu, para pelajar akan mengikuti siri taklimat yang merangkumi hal ehwal berkaitan dengan keselamatan kampus, peraturan GenNEXT, peraturan peperiksaan serta taklimat daripada Pusat Bahasa.

Bagi pengambilan Januari 2016, lebih dari pada 700 pelajar berjaya untuk memasuki UBD dan daripada jumlah berkenaan seramai 40 orang akan mengikuti Kursus Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD), 262 orang dalam Ijazah Sarjana, 346 orang dalam Program Ijazah Sarjana Muda dan seramai 50 orang mendaftar di bawah Program Unibridge manakala lapan orang pula mengambil kursus Bahasa Inggeris (Bridging English).

Di samping itu, daripada jumlah keseluruhan pelajar yang diterima memasuki UBD, seramai 50 orang merupakan pelajar antarabangsa.

Minggu Pelajar Baru memberikan peluang kepada para pelajar baru untuk membincangkan tentang isu peralihan mereka ke peringkat universiti dan panduan-panduan bagi pendaftaran kursus dan modul, di samping membolehkan mereka berkenalan dengan rakan-rakan baru, pensyarah serta ahli fakulti masing-|masing.

Para tenaga akademik yang menghadiri majlis tersebut.
Para tenaga akademik yang menghadiri majlis tersebut.
Antara para pelajar baru UBD pengambilan Januari 2016.
Antara para pelajar baru UBD pengambilan Januari 2016.
Bacaan ikrar oleh para pelajar baru UBD.
Bacaan ikrar oleh para pelajar baru UBD.

Pada acara itu, para pelajar juga berpeluang untuk beramah-mesra dengan ahli-ahli fakulti, ketua program dan penyelaras kursus bagi mendedahkan mereka kepada pelbagai peluang yang ditawarkan di UBD.

Kegiatan-kegiatan pada minggu pelajar baru itu merangkumi sesi taklimat mengenai pendaftaran kursus, peperiksaan, peluang yang terdapat dalam Discovery Year, kelab ko-kurikulum UBD dan penginapan kampus.

Para pelajar juga diberikan taklimat mengenai penggunaan Sistem Pengurusan Pembelajaran Atas Talian UBD, yang membolehkan mereka untuk menghantar dan menerima dokumen-dokumen bagi kursus mereka serta pengurusan kursus-kursus mereka secara online.

Sebagai tambahan, lawatan kampus dan perpustakaan juga diadakan bagi mendedahkan mereka kepada kemudahan-kemudahan yang boleh membantu memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka di UBD.

Kegiatan keagamaan juga diadakan semasa Minggu Pelajar Baru di mana ceramah Bicara Ulum Ad-Din’ dihasratkan untuk memberikan motivasi kepada para pelajar yang memulakan kehidupan universiti mereka di UBD, mengetengahkan peranan pelajar-pelajar serta tanggungjawab mereka dalam perspektif Islam.

Di samping itu, sembahyang Zohor berjemaah juga akan diadakan bagi menandakan bermulanya pengalaman pengajian tinggi para pelajar berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA