Lebih 800 sertai Larian Amal PWM

Lebih 800 sertai Larian Amal PWM

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Lebih 800 peserta telah menyertai Larian Amal Warna-warni Muhibah anjuran Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) yang berlangsung di kawasan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bermula pukul 7 pagi, hari ini.

Pelepasan larian amal tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Dayang Hasnah binti Hashim bersama Presiden PWM, James Lee dan Presiden Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim.

Acara larian itu dibahagikan kepada tiga Kategori iaitu Kategori A terbuka, 5 kilometer lelaki dan perempuan bagi yang berusia 12 tahun ke atas, Kategori B veteran, 5 kilometer lelaki dan wanita bagi yang berusia 45 tahun ke atas dan Kategori C, larian 3 kilometer, dengan kesemua larian merangkumi kawasan stadium tersebut.

James Lee semasa ditemu bual berkata, dalam menganjurkan acara berkenaan, PWM mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam dan hasil kutipan amal akan diserahkan kepada MKM.

Dayang Hasnah dan James Lee bersama para penganjur dan mereka yang terlibat berkesempatan bergambar ramai semasa Larian Amal Warna-warni Muhibah.
Dayang Hasnah dan James Lee bersama para penganjur dan mereka yang terlibat berkesempatan bergambar ramai semasa Larian Amal Warna-warni Muhibah.
Para peserta menyertai aktiviti senaman zumba sebelum larian dimulakan.
Para peserta menyertai aktiviti senaman zumba sebelum larian dimulakan.

“Larian ini bukan sebagai satu pertandingan bahkan ia sebagai tanda sokongan bagi membantu persatuan itu dalam kerja-kerja amal yang dilaksanakan membantu golongan yang kurang bernasib baik”.

Beliau menambah, larian amal itu dihasratkan untuk mempromosikan semangat muhibah dan mengeratkan lagi kerjasama, persefahaman dan harmoni dalam kalangan ahli PWM serta masyarakat lain di Negara Brunei Darussalam.

Acara itu, ujar beliau, bermatlamat untuk mengutip dana bagi MKM serta untuk menggalakkan amalan gaya hidup yang sihat.

Sementara itu, Naib Presiden Kebajikan Sosial PWM dan Pengerusi Larian Amal itu, Raja Segaran berkata, setiap peserta larian berkenaan diberikan pek larian mengandungi baju kemeja-T larian, nombor bib, kaca mata, pingat eksklusif larian dan sijil penyertaan di mana pingat menamatkan perlumbaan itu akan diberikan apabila mereka melalui garisan penamat.

pg08_151130_c

Antara peserta yang menyertai larian amal tersebut.
Antara peserta yang menyertai larian amal tersebut.
Memeriahkan suasana larian – Antara gelagat dan aksi para peserta yang dilemparkan dengan serbuk warna-warni.
Memeriahkan suasana larian – Antara gelagat dan aksi para peserta yang dilemparkan dengan serbuk warna-warni.

Satu keistimewaan larian adalah ia mempunyai zon warna-warni dan para peserta boleh melalui zon-zon warna khusus, iaitu kuning, biru dan merah jambu, di mana serbuk warna akan dilontar ke atas mereka.

Raja Segaran menjelaskan bahawa serbuk warna yang digunakan adalah selamat dan 100 peratus diperbuat daripada bahan asli menggunakan tepung jagung berkualiti dan gred tinggi serta mudah untuk dibersihkan.

Beliau juga berkata bahawa bagi mereka yang tidak mahu melalui zon warna berkenaan, zon-zon tanpa warna khas juga telah disediakan yang mana garisan penamat bagi peserta yang melalui zon warna atau zon tanpa warna adalah yang sama.

Larian amal ini merupakan satu inisiatif yang amat dialu-alukan kerana bukan sahaja ia menunjukkan komitmen PWM untuk membantu mereka yang memerlukan tetapi ia merapatkan lagi hubungan di antara rakyat kedua-dua buah negara melalui acara kebajikan.

ARTIKEL YANG SAMA