Lebih 900 hadiri taklimat umrah

Lebih 900 hadiri taklimat umrah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Lebih 900 orang bakal jemaah Umrah Negara Brunei Darussalam menerusi pakej Darussalam Holdings Sdn Bhd, hari ini, telah menghadiri Taklimat Penghayatan Umrah bertempat di Dewan Sejahtera 1 dan 2, Sumbangsih Mulia, Perindustrian Beribi II.

Taklimat mengenai pengurusan disampaikan oleh Ketua Jabatan Haji dan Umrah Darussalam Holdings, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar, manakala itu, taklimat mengenai penghayatan umrah pula disampaikan oleh Haji Jufri bin Hidup, wakil dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan oleh Haji Sammali bin Adam.

Menurut Pemangku Pegawai Pemasaran dan Pembangunan Produk, Darussalam Holdings, Haji Mohd Faisal bin Haji Apong, taklimat itu dibahagikan kepada dua sesi, iaitu Taklimat Pengurusan Umrah dan Ceramah Penghayatan Umrah.

Katanya lagi, terdapat 11 penerbangan bagi jemaah Umrah Darussalam Holdings, bermula 29 November hingga 8 Januari 2017.

Haji Sammali ketika menyampaikan ceramahnya mengenai penghayatan dan pengurusan umrah.
Haji Sammali ketika menyampaikan ceramahnya mengenai penghayatan dan pengurusan umrah.

Dalam pada itu, beliau juga menerangkan mengenai pakej-pakej yang ditawarkan Darussalam Holdings, menurutnya terdapat tiga Pakej Umrah iaitu Pakej Madinah di mana para jemaah akan memasuki Madinah, kemudian barulah memasuki Kota Suci Mekah, manakala itu, Pakej Mekah pula, para jemaah akan memasuki Mekah dahulu dan barulah ke Madinah dan Pakej Sembilan Hari pula sama seperti Pakej Madinah hanya berbeza hari sahaja.

Taklimat berkenaan adalah bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada para jemaah mengenai apa yang patut dijangkakan sepanjang melaksanakan umrah.

Pada masa yang sama, Darussalam Holdings dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa mereka juga akan mengadakan lawatan pelancongan untuk pelanggan-pelanggannya sepanjang musim cuti sekolah ini ke destinasi-destinasi seperti Saigon, Vietnam, Seoul, Korea, Beijing, China, Jepun dan Jordan.

ARTIKEL YANG SAMA