Lebih aktif dalam misi pengaman PBB

Lebih aktif dalam misi pengaman PBB

HANOI, 25 Mei (Agensi) – Vietnam telah banyak belajar dari kerjasama dengan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bersedia memberi sumbangan dengan lebih aktif kepada kegiatan pengaman, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pham Binh Minh memberitahu satu persidangan di sini.

Merumuskan penglibatan setahun Vietnam dalam kegiatan pengaman PBB, beliau berkata pembabitan negara dalam misi pengaman menandakan peralihan luar biasa dalam pemikiran dan hasil dari persiapan menyeluruh untuk menyertai negara-negara lain dalam melaksanakan misi PBB sekali gus mengekalkan keamanan dan keselamatan di dunia, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Vietnam begitu menghargai peranan PBB dalam tempoh 70 tahun lalu dalam menangani konflik dan melaksanakan kegiatan pengaman dalam banyak bidang di dunia, menyumbang untuk mengekalkan dan melindungi keamanan dan keselamatan antarabangsa, katanya.

Sambil menyifatkan pengaman PBB sebagai misi mulia yang sukar, Pham menegaskan bahawa para pegawai dan tentera Pasukan Tentera Rakyat Vietnam akan menjadi penghantar keamanan ke dunia dan rakyat yang berhasrat hidup dalam aman, kestabilan dan kemakmuran.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Vietnam, Pham Binh Minh.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Vietnam, Pham Binh Minh.

Pada waktu yang sama, beliau berkata berusaha untuk keamanan dan keselamatan antarabangsa juga bererti menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan pembangunan Vietnam sendiri, dan Vietnam akan mempunyai lebih banyak rakan dan meraih lebih banyak sokongan kepada usaha pembinaan dan pertahanan negara.

Pham juga meminta lebih banyak bantuan dari setiausaha agung PBB, Ban Ki-Moon dalam melaksanakan misi pengaman dan percayai bahawa Vietnam dan PBB akan menjadi rakan boleh dipercayai dalam mengusahakan keamanan berkekalan di dunia.

Dalam ucapannya pada persidangan itu, Ban memuji anggota pengaman Vietnam di atas tindakan cemerlang mereka meskipun bertugas dalam keadaan sangat sederhana dan berharap Pusat Pengaman Vietnam akan meningkatkan usaha baiknya dalam melatih kakitangan pengaman yang mampu.

ARTIKEL YANG SAMA