Lebih banyak premis diharap pasang CCTV

Lebih banyak premis diharap pasang CCTV

KOTA KINABALU, 7 Okt (Bernama) – Polis Sabah berharap lebih banyak premis termasuk kawasan perumahan di negeri ini memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kontinjen Sabah SAC Omar Mammah berkata rakaman video mampu membantu polis menyiasat pergerakan penjenayah yang seterusnya akan membawa kepada penangkapan.

Jelasnya, CCTV juga merupakan kaedah berkesan dalam mempercepatkan penyelesaian siasatan polis terhadap sesuatu kes.

“Tiada sebarang angka dapat diberikan sekarang, tetapi banyak kes dapat diselesaikan melalui CCTV,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama ‘PDRM Safecam’ antara Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu dengan 15 syarikat swasta, hari ini.

Ditanya faktor keengganan kebanyakan premis memasang CCTV, Omar berkata antaranya ialah kos pemasangan yang perlu diambil kira serta sikap tidak peduli terhadap aspek keselamatan.

“Terdapat juga tempat seperti kawasan perumahan yang mengamalkan ciri keselamatan lain seperti pemasangan jeriji pada jendela, jadi mereka tidak memikirkan perlu memasang CCTV lagi,” tambahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata lokasi pemasangan CCTV perlu diambil perhatian oleh semua pemilik premis yang memiliki kemudahan itu.

Menurutnya, kebanyakan CCTV dipasang pada sudut premis yang menghalang rakaman atau dari sudut yang tidak dapat merakamkan wajah penjenayah dengan jelas.

Chandra juga berharap kedai serbaneka 24 jam dan institusi kewangan turut tampil menjadi anggota PDRM Safecam.

ARTIKEL YANG SAMA