Lebih bergaya dan moden

Lebih bergaya dan moden

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Peugeot telah memperkasakan lagi model-model jenamanya dengan tidak terhenti setakat itu sahaja, malah Peugeot terus memberikan sentuhan terbaik mereka dengan melahirkan Peugeot 2008 yang diperbaharui.

Untuk memperkenalkan model 2008 terbaru ini kepada peminat kereta Peugeot, T.C.Y Motors Sdn Bhd hari ini menjemput wakil media untuk menyaksikannya dengan lebih dekat.

Model versi baru yang dipamerkan di hadapan Bangunan Centrepoint, Gadong memberi peluang kepada media dan orang ramai untuk mengenali fungsi-fungsi yang ada di dalamnya dan sejarah Peugeot 2008 yang begitu sinonim dengan Dakar Rally.

Model kali ini wajar menerima pujian kerana bentuknya berlainan berbanding model-model Peugeot lama yang pernah diperkenalkan.

Walaupun bentuknya hampir sama tetapi model baru ini mengalami penambahan reka bentuk lampu utama DRL LED bersama gril double-bar dengan kekemasan krom yang menghiasi bahagian hadapan dan menjadikannya suatu tarikan.

Peugeot 2008 versi baru yang diperkenalkan oleh T.C.Y Motors Sdn Bhd di negara ini.
Peugeot 2008 versi baru yang diperkenalkan oleh T.C.Y Motors Sdn Bhd di negara ini.
Ruang dalaman Peugeot 2008 versi baru.
Ruang dalaman Peugeot 2008 versi baru.

Peugeot 2008 juga nampak lebih mengikut gaya kemodenan dan sportif selaras dengan prinsip Peugeot untuk memberikan yang terbaik kepada penggunanya.

Bagi keluaran terbaru model dari Perancis ini, para media diberi taklimat mengenai spesifikasi dan beberapa fungsi canggihnya disampaikan oleh Eksekutif Perhubungan Awam dan Pengiklanan T.C.Y Motors Sdn Bhd, Alvin Caro.

Ruang dalaman 2008 agak luas dengan rekaan Peugeot i-Cockpit. Papan pemukanya dilengkapi butang kawalan dari skrin sentuh berdefinisi tinggi (HD) berukuran tujuh inci yang menyerlahkan lagi kemewahannya.

Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan MirrorLink TM, Apple Carplay, kamera undur dan bantuan letak kereta automatik.

Peugeot 2008 digerakkan oleh enjin 1.2 liter Turbocharged Puretech yang telah memenangi anugerah enjin antarabangsa tahunan 2016 di bawah Kategori 1.0L ke 1.4L, dan digabungkan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Pemandu dan penumpang juga dapat memandu dan menaiki kereta ini dengan tenang kerana ia dilengkapi enam beg udara keselamatan, dua ISOFIX, Electronic Safety Program (ESP) dengan ciri Anti-Skid Regulator (ASR), DSC (Dynamic Stability Control), EBA dan EBD.

ARTIKEL YANG SAMA