Lebih ceria & mesra pelanggan

Lebih ceria & mesra pelanggan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) meneruskan inisiatif penjenamaan semulanya dengan memberi wajah baru yang lebih ceria dan mesra pelanggan kepada Pusat Perkhidmatan Pelanggannya yang terletak di Plaza RB, di ibu negara.

Pelancaran semula pusat berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Pengarah RB, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah.

Timbalan Pengerusi RB, Dermont Mannion dalam ucapannya berkata, RB dalam sedikit masa lagi akan menyambut ulang tahun ke-40 penerbangan pertamanya dan oleh itu adalah amat bertepatan sekali acara pelancaran yang diadakan pada hari ini berlangsung di bangunan mercu tanda ikon RB yang menjadi ibu pejabat serta pusat nadi operasi RB sejak dari awal lagi.

Menurutnya, langkah penjenamaan semula RB menyaksikan penyusunan semula dan penaikan taraf sepenuhnya tingkat bawah dan juga tingkat pertama Plaza RB.

Dato Paduka Haji Bahrin merasmikan Pusat Perkhidmatan Pelanggan RB yang kini berwajah baru sambil disaksikan Dermont Mannion (2 kiri) bersama para tetamu yang lain.
Dato Paduka Haji Bahrin merasmikan Pusat Perkhidmatan Pelanggan RB yang kini berwajah baru sambil disaksikan Dermont Mannion (2 kiri) bersama para tetamu yang lain.
Kakitangan perkhidmatan darat dan perkhidmatan pelanggan RB memakai pakaian seragam terbaru mereka.
Kakitangan perkhidmatan darat dan perkhidmatan pelanggan RB memakai pakaian seragam terbaru mereka.
Ruangan dalam pusat perkhidmatan yang kini lebih mesra pelanggan.
Ruangan dalam pusat perkhidmatan yang kini lebih mesra pelanggan.

Dermont berkata, proses pembaharuan itu akan diteruskan dengan penjanaan fasa moden bagi bangunan berkenaan yang akan dilancarkan dalam masa yang terdekat.

Plaza RB kini mempunyai Pusat Panggilan RB yang canggih di tingkat pertama bangunan berkenaan. Para pelanggan boleh membuat panggilan ke pusat berkenaan di talian 2212222 dari pukul 7 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Sabtu dan dari pukul 7 pagi hingga 5 petang pada Ahad.

Menurut Dermont, dalam usaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan pelanggan RB, syarikat berkenaan juga telah melancarkan Pusat Perkhidmatan Pelanggan keduanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi kemudahan pelanggan-pelanggan RB.

Pusat itu beroperasi setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 9 malam dari Isnin hingga Sabtu dan dari pukul 8 pagi hingga 4 petang pada Ahad.

Ahli-ahli Royal Skies juga bakal berpeluang untuk membuat penebusan tiket serta merta di kedua-dua pusat perkhidmatan pelanggan itu.

Manakala itu, Dermont turut mendedahkan bahawa RB sedang dalam proses menaik taraf sistemnya yang akan membolehkan ahli-ahli Royal Skies untuk membuat penebusan tiket segera secara dalam talian di dalam masa beberapa bulan lagi.

Pusat Perkhidmatan Pelanggan terbaru di tingkat bawah Plaza RB itu mempunyai sebuah surau dan juga sebuah ruang istirahat elit bagi kemudahan pelanggan-pelanggan mereka.

Ruang istirahat elit yang terletak di sebelah kiri pintu masuk ke pusat berkenaan menyediakan zon eksklusif bagi ahli-ahli emas dan perak Royal Skies bagi membolehkan mereka membincangkan keperluan penerbangan mereka dengan kakitangan terlatih di dalam ruang yang selesa.

Sementara itu, ruang istirahat premier baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang telah beroperasi untuk beberapa bulan juga menyediakan perkhidmatan porter untuk membantu menguruskan beg-beg bagi pelanggan kelas bisnes dan ahli-ahli perak dan emas Royal Skies.

Di samping itu, perkhidmatan troli penghantaran beg juga disediakan bagi pendaftaran masuk kelas bisnes yang mana para penumpang akan dijemput untuk berehat di ruang istirahat premium manakala proses pendaftaran masuk sedang dilakukan.

Semasa majlis itu, para tetamu berpeluang untuk menyaksikan pakaian seragam terkini yang berinspirasikan khazanah RB yang dipakai oleh semua kakitangan perkhidmatan darat dan perkhidmatan pelanggan RB.

Usaha untuk memperkenalkan pakaian seragam itu adalah selaras dengan pelancaran pakaian seragam kru kabin yang dilancarkan pada 2014 lalu serta mendapat maklum balas positif daripada pelanggan-pelanggan RB.

Pakaian seragam terbaru itu, menonjolkan barisan pakaian yang berwarna lembut serta direka untuk mencerminkan sifat mesra kakitangan RB dan juga penduduk Negara Brunei Darussalam.

Selepas perasmian, Dato Paduka Haji Bahrin membuat lawatan untuk meninjau dengan lebih dekat kemudahan-kemudahan terkini yang ditawarkan oleh pusat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA