Lebih daripada 110,000 penghijrah menyeberangi Mediterranean

Lebih daripada 110,000 penghijrah menyeberangi Mediterranean

GENEVA, 23 Feb (AFP) – Lebih daripada 110,000 penghijrah dan pelarian telah menyeberangi Mediterranean menuju Greece dan Itali setakat ini tahun ini, dan sebanyak 413 telah kehilangan nyawa atas cubaan itu, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Penghijrahan (IOM) hari ini.

Setakat pagi ini, 102,547 orang telah tiba di Greece, sementara 7,507 lainnya tiba di Itali sejak permulaan tahun ini, menurut IOM.

Tahun lepas, tanda aras 100,000 hanya dicatat ketika musim panas, jurucakap IOM Itayi Viriri memberitahu para pemberita.

Dia berkata daripada 413 orang yang terkorban dalam cubaan untuk tiba ke Eropah, 321 daripadanya lenyap dalam laluan ke Greece.

Para pelarian dan penghijrah berbaris bagi bantuan makanan di pelabuhan Piraeus Greece setelah menyeberangi lautan Mediterranean. - AFP
Para pelarian dan penghijrah berbaris bagi bantuan makanan di pelabuhan Piraeus Greece setelah menyeberangi lautan Mediterranean. – AFP

“Anggaran 35,000 penghijrah dan pelarian telah tiba di pulau-pulau Greece setakat ini dalam bulan Februari sahaja,” dia berkata, menambah bahawa hampir separuh daripadanya warga Syria dan suku daripadanya dari Afghanistan, sementara 17 peratus lainnya dari Iraq.

Apabila mereka tiba di Greece, hampir semuanya cuba untuk meneruskan perjalanan, katanya, menambah bahawa “kami memahami bahawa anggaran 26,000 telah melintasi sempadan Greece dengan Macedonia dalam bulan ini sahaja.”

Tidak semuanya berupaya untuk meneruskan perjalanan.

Ribuan penghijrah telah ditinggalkan terkandas di Greece selepas Macedonia tiba-tiba menutup sempadannya kepada warga Afghanistan, mewujudkan kesesakan tatkala negara-negara Eropah bergegas untuk bertindak balas terhadap krisis pelarian benua itu.