Lebih privasi, fleksibel

Lebih privasi, fleksibel

SEPANG, 22 Mac – Malaysia Airlines Bhd (MAB) melancarkan kabin kelas perniagaan pesawat A330-300 yang diperbaharui dengan tempat duduk direka bagi menyediakan penumpang dengan lebih banyak ruang, privasi, fleksibiliti untuk bekerja dan tidur.

Tempat duduk itu juga dilengkapi dengan sistem hiburan skrin sentuh 16 inci dalam penerbangan dengan ruang penyimpanan tambahan untuk barang-barang peribadi.

Tempat duduk dengan lebar 20 inci boleh diratakan sepenuhnya menjadi katil 76 inci, lengkap dengan tempat tidur yang empuk untuk membolehkan penumpang berehat dengan selesa.

Bercakap pada majlis pelancaran kelas perniagaan pesawat A330 yang diperbaharui itu di Kompleks Kejuruteraan MAB di sini hari ini, Ketua Pegawai Komersial MAB Paul Simmons berkata tempat duduk baharu berkenaan menandakan permulaan pelancaran produk menarik untuk penumpang.

“Semua pesawat A330-300 akan dipasang dengan kabin kelas perniagaan baru, proses yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai bulan ini.

Paul Simmons ketika mendedahkan kerusi kelas perniagaan A330 yang baru dalam pesawat A330-300 di Hangar 6, Kompleks Jurutera di Sepang, kelmarin. – Bernama
Paul Simmons ketika mendedahkan kerusi kelas perniagaan A330 yang baru dalam pesawat A330-300 di Hangar 6, Kompleks Jurutera di Sepang, kelmarin. – Bernama

“Proses membaik pulih kesemua 15 pesawat A330 MAB akan siap pada September,” katanya.

Tempat duduk kelas perniagaan baru boleh didapati dalam pesawat A330 Malaysia Airlines bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, China dan India mulai bulan ini.

Pesawat A330 dikonfigurasikan semula itu akan mempunyai 27 tempat duduk kelas perniagaan baru dan 263 tempat duduk kelas ekonomi.

Simmons berkata penerbangan MH141 dari Kuala Lumpur ke Sydney esok (23 Mac) akan menjadi yang pertama menampilkan kabin yang dirombak semula ini.

“Kami juga yakin tempat duduk ini akan terus menambah baik dan memperkukuhkan lagi produk premium dan perkhidmatan yang kami ditawarkan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA