Lebih ramai belia perlu sertai PKBN

Lebih ramai belia perlu sertai PKBN

Oleh Sim Y. H. & Normazlina MD

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Program Khidmat Bakti Negara merupakan program pembangunan belia yang menitik beratkan penglibatan para belia yang merupakan pemangkin dan ejen kemajuan serta kemakmuran negara.

Oleh itu, ia menjadi harapan supaya lebih ramai belia akan tampil untuk menyertai program berkenaan dengan sokongan padu daripada semua orang kepada para belia termasuk ibu bapa, keluarga, guru, rakan dan masyarakat terutama apabila program berkenaan akan dilaksanakan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) yang baru di Daerah Temburong.

Harapan itu disabdakan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-5 yang berlangsung di Padang Kawad, PKBN, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

“Sesungguhnya, semua lapisan masyarakat perlu sedar bahawa golongan muda seperti mereka ini harus diperlengkap dengan ilmu pengetahuan dan kefahaman dengan pengisian jati diri yang betul dan mantap bagi bekalan mereka untuk mampu menghadapi cabaran mendatang.”

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik bersabda, dengan bimbingan yang sewajarnya, kesedaran diri akan terbentuk dan nilai-nilai murni akan dapat disuburkan dan disalurkan ke arah kebaikan.

Yang Teramat Mulia ketika berkenan mengurniakan sabda.
Yang Teramat Mulia ketika berkenan mengurniakan sabda.
Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung untuk beramah mesra bersama pelatih, ibu bapa serta penjaga pelatih PKBN.
Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung untuk beramah mesra bersama pelatih, ibu bapa serta penjaga pelatih PKBN.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyaksikan Pameran Mini Galeri Alumni PKBN.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyaksikan Pameran Mini Galeri Alumni PKBN.

“Saya juga percaya kurikulum PKBN ini mampu membuka mata dan minda para belia tentang peranan besar mereka selaku warga Negara Brunei Darussalam yang berguna dan bertanggungjawab.

“Ini kerana, keunikannya terletak kepada aspek pembentukan jati diri, keugamaan dan kenegaraan yang menekankan nilai-nilai keBruneian seperti sentiasa taat mendaulatkan raja, taat mengamalkan tuntutan ugama dengan akhlak yang murni, berdisiplin dan saling tolong-menolong antara satu sama lain yang menjurus ke arah peneguhan penghayatan konsep Melayu Islam Beraja.”

Yang Teramat Mulia bersabda bahawa sejak penubuhannya, PKBN telah berjaya melahirkan seramai 1,131 orang lepasan PKBN dan dengan tamatnya latihan bagi pengambilan ke-5, jumlah bilangan alumni PKBN terus bertambah di mana setiap ahli alumni mempunyai latar belakang akademik dan kemahiran yang berbeza.

Oleh itu, pembentukan Alumni PKBN juga adalah sangat relevan sebagai wadah untuk mewujudkan perpaduan dan pemangkin untuk menabur jasa serta bakti kepada raja, agama, bangsa dan negara.

“Saya berharap lepasan PKBN hari ini dan ahli-ahli Alumni PKBN akan sentiasa menjaga nama baik dan juga imej PKBN serta sama-sama berperanan memberikan sumbangan bermakna ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.”

ARTIKEL YANG SAMA