Lebih ramai golongan muda sedari peluang pelaburan melalui Internet

Lebih ramai golongan muda sedari peluang pelaburan melalui Internet

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kemunculan Internet telah mewujudkan kesedaran mengenai peluang-peluang pelaburan dalam kalangan generasi muda, kata Pengarah Urusan SI Portal.com Sdn Bhd Andrew Chan.

Keadaan ini serta keperluan untuk menambah satu lagi aliran pendapatan dan keinginan untuk menghasilkan lebih banyak wang, telah menyebabkan generasi muda mula membiasakan diri mereka dengan produk pelaburan.

“Generasi muda mencari sumber pendapatan lain bagi melengkapkan gaji mereka,” katanya kepada Bernama pada acara ‘Invest Fair Malaysia 2016’ yang berlangsung pada Jun. Beliau berkata kira-kira 8,000 orang melawat acara berkenaan tahun ini dan sejumlah besar daripadanya adalah golongan muda.

Tahun lepas, daripada 4,000 pengunjung ke pameran tahunan itu, 20 peratus terdiri daripada golongan muda.

Institusi kewangan, syarikat pengurusan dana, penasihat kekayaan dan platform alternatif mengambil bahagian pada acara dua hari itu bermula 2 Jun, yang bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai peluang pelaburan, pengetahuan asas pelaburan serta strategi pelaburan maju.

SI Portal.com menubuhkan ShareInvestor Malaysia dan merupakan anak syarikat ShareInvestor, syarikat teknologi dan media Internet kewangan yang berpangkalan di Singapura, yang seterusnya dimiliki sepenuhnya oleh Singapore Press Holdings.

Chan berkata pendedahan golongan muda kepada portfolio pelaburan masih terhad kerana mereka lebih suka melabur dalam portfolio konservatif dan matang seperti insurans.

“Berbeza dengan generasi lebih tua yang mempunyai aliran pendapatan stabil dan lebih bersedia untuk portfolio alternatif seperti halal agro dan mungkin juga hartanah,” katanya.

Oleh itu, katanya, golongan muda perlu mempelajari lebih lagi mengenai pengurusan risiko yang berkaitan dengan pasaran kewangan.

Chan berkata generasi muda juga didapati memberi tumpuan kepada saham berpangkalan di Malaysia kerana kebiasaan dengan sistem tempatan dan berkemampuan berbanding dengan saham serantau dan antarabangsa.

Laman web Share-Investor, jelas beliau, menyediakan platform untuk peniaga-peniaga mendapatkan analisis mengenai syarikat, dan juga, nasihat tentang saham yang mereka harus melabur.

“Kami juga mempunyai akses kepada pasaran tujuh negara dan 10 bursa termasuk di Hong Kong, Hang Seng, Strait Times di Singapura, Bursa Saham Thailand dan Bursa Malaysia.

“Bagaimanapun, 70 peratus daripada mereka memberi tumpuan kepada saham yang diniagakan di Bursa Malaysia,” katanya. – Bernama