Lebih ramai warga M’sia mohon bantuan di Chennai

Lebih ramai warga M’sia mohon bantuan di Chennai

NEW DELHI, 3 Dis (Bernama) – Susulan ramalan berlaku hujan lebih kerap oleh Jabatan Meteorologi India, lebih ramai rakyat dan pelancong Malaysia yang terkandas di ibu negara Tamil Nadu, Chennai meminta bantuan daripada Pejabat Konsul Jeneral Malaysia.

Beberapa orang warga Malaysia ketika dihubungi berkata mereka bimbang kerana hotel-hotel di bandar raya itu kekurangan makanan dan bekalan elektrik bertahan hanya bagi beberapa jam sahaja. Pasangan suami isteri dari Klang, K Kamalakannan dan N Kasthuri berkata terdapat ramai warga Malaysia di hotel penginapan mereka di T Nagar, iaitu kawasan membeli-belah yang popular di kalangan warga Malaysia.

“Kami sedar tentang gelombang pertama banjir yang melanda Chennai kira-kira dua minggu lepas tetapi diberitahu bahawa situasi paling buruk itu telah berlalu dan kami mengambil keputusan untuk menghadiri festival keagamaan di Tiruvanamali, kira-kira 250 kilometer dari sini.

“Kami sepatutnya menaiki penerbangan hari ini tetapi oleh kerana lapangan terbang ditutup sehingga 6 Disember, kami cuba menggunakan perkhidmatan bot untuk membawa kami ke tempat lebih tinggi supaya kami dapat pulang sama ada melalui Lapangan Terbang Tiruchi atau Lapangan Terbang Antarabangsa Bengaluru di Karnataka,” kata Kannan.

Seorang wanita dikenali sebagai Sonia Nair Vijaya Kumar memuat catatan melalui tweeter dari kawasan yang sama di Chennai: “Air telah melimpah masuk ke kawasan hotel kami…paras air semakin naik.”

Konsul Jeneral R Citra Devi ketika dihubungi berkata hampir 30 pelajar Kolej Pergigian Meenakshi Ammal di Maduravoyal di Chennai, sempat mencari jalan menuju ke lapangan terbang lain dan telahpun kembali ke Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA