Lebih RM15 juta dirampas serbuan wang haram

Lebih RM15 juta dirampas serbuan wang haram

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama dengan Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia telah membuat serbuan ke atas rangkaian perkhidmatan wang perniagaan haram (MSB).

Dalam operasi itu, sebanyak lapan belas premis di Johor dan Negeri Sembilan telah diserbu dan dokumen yang berkaitan dengan aktiviti itu dirampas, serentak dengan itu, akaun bank mereka dibekukan untuk memudahkan siasatan.

BNM dalam satu kenyataan hari ini, berkata, setakat ini, 14 suspek telah ditahan dan 24 individu telah disoal siasat.

Serbuan itu turut merampas wang tunai dan aset bernilai lebih daripada RM15 juta termasuk tangkapan ke atas seorang ‘Keldai Wang’ yang mempunyai kaitan dengan operasi perniagaan perkhidmatan wang haram.

Rangkaian perniagaan perkhidmatan wang haram ini diserbu selepas disyaki menjalankan aktiviti tersebut (yang terdiri daripada pertukaran dan penghantaran wang) tanpa lesen di bawah S4 (1) Akta Perkhidmatan Wang Perniagaan 2011, ia juga disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) selepas disyaki melakukan aktiviti pengubahan wang haram.

Operator MSB haram ini juga disyaki menyeberangi sempadan Malaysia dengan membawa wang tunai melebihi atau bersamaan dengan AS$10,000 tanpa pengisytiharan kepada jabatan kastam.

Di bawah seksyen 28B Akta AMLA, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan MSB haram untuk bertukar-tukar atau pengiriman wang.

“Mereka tidak akan dilindungi daripada sebarang kerugian kewangan sekiranya berlaku sesuatu pertikaian,” kata BNM.

Mereka juga diingatkan bahawa meninggalkan atau memasuki Malaysia dengan wang tunai atau instrumen pembawa boleh niaga melebihi jumlah yang sama dengan AS$10,000 perlu diisytiharkan kepada Kastam Diraja Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA