Lebih selesa beriadah di sini

Lebih selesa beriadah di sini

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Sept – Tidak semua orang keluar negara pada musim cuti persekolahan, ramai dalam kalangan mereka yang lebih gemar bersantai dan beriadah di dalam negeri sendiri, untuk lebih jimat dan selamat.

Tukaran mata wang negara jiran rendah pada masa ini, tetapi mereka mendapati harga-harga barang pula naik di sana, ujar beberapa orang ibu bapa yang ditemui Media Permata, ketika membawa anak-anak mereka menyertai Pertandingan Mewarna Ikon Emoji di tingkat bawah Pusat Membeli-belah KB Sentral, di sini, hari ini.

“Dengan adanya inisiatif pihak KB Sentral mengadakan aktiviti-aktiviti memenuhi masa cuti persekolahan yang menarik ini, kami merasa begitu selesa membawa anak-anak ke mari, selain turut rasa jimat dan selamat, tidak perlu mengambil masa lama dalam barisan panjang menuju ke pos kawalan dan sebagainya,” kata salah seorang ibu yang ditemui.

Acara Minggu Emoji anjuran KBSentral telah membuka peluang kepada penduduk di daerah ini amnya dan penduduk dari daerah lain untuk bersantai dan beriadah sambil berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik melalui acara yang disediakan.

Antara acara yang diadakan termasuk pertandingan melukis dan mewarna Ikon Emoji yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun dan pertandingan melukis bagi remaja berusia 12 hingga 14 tahun.

Peserta Pertandingan Mewarna Ikon Emoji penuh teliti dan kreatif.
Peserta Pertandingan Mewarna Ikon Emoji penuh teliti dan kreatif.

Menurut penganjur, Minggu Emoji ini diadakan buat kali pertama, memandangkan ia sudah menjadi trend kegemaran pada masa ini terutama dalam kalangan generasi muda bagi menggambarkan perasaan, sama ada sedih, gembira, lucu dan sebagainya ketika menghantar pesanan ringkas melalui telefon pintar mereka.

Dalam pertandingan melukis dan mewarna Emoji itu, penganjur telah menyediakan kertas putih untuk melukis menggunakan kreativiti masing-masing, manakala kepada yang menyertai pertandingan mewarna pula perlu membawa pensel warna masing-masing kerana pihak penganjur hanya menyediakan lukisan untuk diwarnakan, dan penghakiman dinilai berdasarkan kemahiran dan kreativiti mewarna dan melukis. Minggu Emoji telah bermula 1 September lalu dan akan berlangsung hingga 6 September ini, yang turut diisi dengan berbagai-bagai permainan sampingan yang pastinya menarik kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

ARTIKEL YANG SAMA