Lebih setengah juta aset disita

Lebih setengah juta aset disita

JOHOR BAHARU, 18 Jan – Polis berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah di bandar raya ini dengan tertangkapnya seorang pengedar dadah dan menyita aset miliknya bernilai lebih setengah juta ringgit, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Larkin dan seterusnya dibawa ke rumah suspek di Kempas.

“Suspek ini yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Johor Baharu serta di Singapura ini mampu hidup mewah dan turut memiliki beberapa buah kereta mewah,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Daerah Johor Baharu Selatan di sini hari ini.

Polis turut merampas antaranya 51 gram dadah jenis syabu, empat buah kereta mewah termasuk BMW dan sebuah motosikal Harley Davidson serta wang tunai, yang kesemuanya bernilai RM545,533.

ACP Sulaiman Salleh (kiri) menunjukkan motosikal Harley Davidson dan kereta mewah yang dirampas dengan tertangkapnya seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, kelmarin. - Bernama
ACP Sulaiman Salleh (kiri) menunjukkan motosikal Harley Davidson dan kereta mewah yang dirampas dengan tertangkapnya seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, kelmarin. – Bernama

Sulaiman berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia bawah 30 tahun di sebuah rumah di Taman Daya kira-kira 1 pagi Ahad kerana memiliki sepucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Hasil pemeriksaan di rumah suspek, kami merampas sepucuk pistol tiruan berwarna hitam jenis Glok G17 berserta kelopak dan tiub straw mengandungi dadah jenis heroin,” kata beliau.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, yang jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Sulaiman berkata bagi kes dadah pula, suspek disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.

Dalam hal lain, pihak polis turut mematahkan kegiatan judi dalam talian di sekitar bandar raya ini dengan menahan 28 orang sepanjang serbuan selama tiga hari melibatkan 16 lokasi berbeza.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada pemain dan penjaga kedai dan premis judi yang berusia 18 hingga 45 tahun. Pihak polis turut merampas sebanyak 118 unit komputer riba pelbagai jenis,” kata beliau.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 serta tidak melebihi RM200,000 atau boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun.

Bagi kes pecah rumah pula, polis menahan dua orang lelaki berusia 30 dan 50 tahun yang mencurigakan dalam serbuan di Kawasan Setia Indah pada jam 8 malam tadi.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas tiga buah televisyen LCD, telefon bimbit pelbagai jenis, sebilah pedang, dua buah kereta serta dadah jenis heroin,” kata beliau.

Katanya, kereta yang dirampas dipercayai hasil curi dan pernah dilaporkan hilang, kata Sulaiman.

“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek ada jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah,” kata beliau.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan. – Bernama