Lebihan bekalan dorong harga minyak jatuh

Lebihan bekalan dorong harga minyak jatuh

SINGAPURA, 23 Nov (AFP) – Harga minyak jatuh dalam dagangan Asia hari ini berikutan pengukuhan dolar dan data yang menunjukkan stok dunia kini mencecah paras tertinggi baharu. Harga jatuh ke paras terendah dalam dua bulan selepas Agensi Tenaga Antarabangsa, berkata stok komersial dunia kini mencecah tiga bilion tong.

Dalam pada itu, jangkaan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan kadar faedah bulan depan menaikkan dolar AS tetapi pada masa sama memberi kesan kepada harga komoditi.

Pada jam 11 pagi ini, kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran Januari jatuh 84 sen kepada AS$41.06 manakala kontrak penanda aras global, Brent North Sea untuk penghantaran Januari jatuh 51 sen kepada AS$44.15 setong.

Harga minyak dunia sudah turun lebih separuh dalam tempoh 18 bulan lalu kerana pengeluaran melebihi permintaan.