Lebihan minyak berakhir 2017 kecuali OPEC kurang pengeluaran

Lebihan minyak berakhir 2017 kecuali OPEC kurang pengeluaran

PARIS, 11 Okt – Lebihan bekalan minyak secara besar-besaran mungkin menjejaskan pasaran dunia sehingga tahun depan kecuali anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengotakan janjinya untuk mengurangkan pengeluaran, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), hari ini.

Harga minyak pulih secara kukuh sejak OPEC berkata pada bulan lalu bahawa ia akan mengurangkan pengeluaran, dengan butiran lanjut akan dibuat semasa mesyuarat pertubuhan itu bulan depan dan persetujuan seperti itu akan ‘mempercepatkan proses’ mengurangkan inventori minyak global, kata IEA dalam laporan bulanannya.

“Walaupun dengan tanda-tanda awal yang peningkatan inventori mula merosot, tinjauan bekalan-permintaan kami menunjukkan bahawa pasaran – jika dibiarkan sendiri – boleh terus kekal berada dalam lebihan bekalan sehingga separuh pertama tahun depan,” menurut IEA lagi.

“Jika OPEC kekal dengan sasaran barunya, pengimbangan semula pasaran boleh berlaku dengan lebih cepat,” katanya.

Pada mulanya disambut dengan keraguan dalam kalangan penganalisis, persetujuan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran mendapat tarikan dalam pasaran minyak, dengan IEA menyatakan bahawa harga minyak telah meningkat sebanyak 15 peratus sejak pengumuman kartel itu pada 28 September lalu.

Harga minyak meningkat ke paras tingginya dalam beberapa bulan selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, semalam berkata bahawa negaranya yang bukan anggota OPEC bersedia menerima cadangan OPEC untuk mengehadkan pengeluaran.

Pada dagangan awal di Eropah hari ini, kedua-dua kontrak minyak mentah WTI dan Brent berada pada paras kukuh AS$50 setong (45 euro), dengan masing-masing berada AS$50.90 dan AS$52.89.

“Permainan menunggu sudah tamat. OPEC secara berkesan meninggalkan dasar pasaran bebas yang ditetapkannya hampir dua tahun lalu,” menurut IEA. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA