LeBron James mungkin terlepas aksi pembukaan lawan Boston

WASHINGTON, 12 Okt – LeBron James, NBA Most Valuable Player sebanyak empat kali, tidak akan beraksi dalam perlawanan terakhir pra musim Cleveland dan diragui bagi perlawanan pembukaan musim menentang Boston, kata jurulatih Cavalier, Tyronn Lue semalam.

James mengalami kecederaan buku lali kiri selepas menjaringkan 17 mata dalam kemunculan pra musim pertama, kekalahan 108-94 kepada Chicago, dan Lue mengisytiharkan dia tidak akan berlatih hari ini atau beraksi esok dalam perlawanan menentang Orlando.

Pemain utama berusia 32 tahun itu, yang mengetuai Pasukan Cavs bagi mahkota NBA pertama mereka pada 2016, juga terlepas hampir kesemua latihan pra musim dan tiga perlawanan pra musim kerana mengalami kecederaan buku lali kiri yang dialami pada 27 September.

LeBron James (tengah) ketika perlawanan antara Cavs dan Chicago Bulls dalam aksi pra musim NBA. – AP

James tidak pernah terlepas dalam perlawanan pembukaan bagi 14 kempen NBA, tetapi Lue teragak-agak apabila ditanya mengenai kedudukan menentang Boston minggu depan.

J.R. Smith akan beraksi untuk James esok dengan Jose Calderon berada dalam barisan, kata Lue.

James berkata selepas kekalahan pra musim kepada Chicago di mana perlawanan itu adalah satu ujian untuk melihat bagaimana kedudukan buku lalinya dari kecederaan itu. – AFP