Lebuh raya Afghan diserah kepada Taliban

Lebuh raya Afghan diserah kepada Taliban

TARIN KOT, Afghanistan, 5 Mei (AFP) – Keputusan untuk memecat orang kuat Afghan yang dituduh sengaja menyerahkan beberapa kawasan di lebuh raya selatan yang genting kepada Taliban telah mendedahkan pergelutan kuasa dan perbalahan puak dalam kedudukan polis, yang memburukkan lagi keadaan yang tidak terjamin.

Berbelas-belas buah tempat pemeriksaan polis di lebuh raya sepanjang 160 kilometer yang menghubungkan bandar-bandar wilayah Tarin Kot, di Uruzgan, dan Kandahar minggu lalu telah jatuh kepada kawalan Taliban yang menimbulkan kebimbangan akan keselamatan.

Kehilangan kawalan ke atas kawasan-kawasan itu telah menimbulkan dakwaan bahawa ia sengaja diserahkan atas arahan Rahimullah Khan, orang tempatan penting berpengaruh yang juga timbalan ketua polis Uruzgan.

Rahimullah sejak itu dipanggil ke Kabul dan akan disingkirkan, menurut pelbagai sumber yang memberitahu AFP, termasuklah Jeneral Abdul Raziq, ketua polis berpengaruh di Kandahar yang mengetuai perjuangan untuk merampas balik kawalan ke atas lebuh raya itu, nadi ekonomi serantau dan tentera.

Gambar fail bertarikh 1 Mei 2016 menunjukkan seorang anggota polis Afghan mengawal di pusat pemeriksaan polis di lebuh raya Kandahar-Tarin Kowt. – AFP
Gambar fail bertarikh 1 Mei 2016 menunjukkan seorang anggota polis Afghan mengawal di pusat pemeriksaan polis di lebuh raya Kandahar-Tarin Kowt. – AFP

Kebimbangan mengancam bahawa penyingkiran Rahimullah boleh mencetuskan tindak balas ganas dari puaknya, Popalzai, yang mendominasi kedudukan tentera. Sumber-sumber dalam kementerian dalam negeri di Kabul berkata mereka meningkatkan kawalan keselamatan di Uruzgan sebelum berita penyingkiran itu tersebar.

Kebangkitan dan kejatuhan Rahimullah menyelubungi cabaran yang dihadapi oleh kerajaan Kabul yang disokong pihak Barat itu dalam mengekang ketua perang dan orang kuat menyemai anarki demi kepentingan sendiri. Ia juga memperlihatkan perjuangan untuk melindungi wilayah-wilayah terpencil seperti Uruzgan, yang mana pasukan tentera Australia, Belanda dan Amerika telah berjuang menentangnya selama bertahun-tahun.