Lebuh raya Pan Borneo sedia dibincangkan

Lebuh raya Pan Borneo sedia dibincangkan

PUTRAJAYA, 4 Okt – Brunei dan Malaysia siap sedia untuk memulakan rundingan berhubung rangkaian Lebuh raya Pan Borneo bagi menambah baik saling-hubungan dan merancakkan perkembangan ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama Brunei-Malaysia dikeluarkan bersempena Perundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak, di sini Selasa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Seri Mohd Najib mengimbau kembali perbincangan mereka mengenai mustahaknya menambah baik dan menaik taraf rangkaian lebih raya di kedua-dua negara demi memudahkan kesaling-hubungan antara Brunei, Sabah dan Sarawak.

“Mereka menggesa pegawai-pegawai kedua-dua negara memulakan rundingan mengenai rangkaian Lebuh raya Pan Borneo oleh kerana penambahbaikan hubungan akan mempertingkat pertumbuhan ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Projek Lebuh raya Pan Borneo sejauh 2,325km dari Telok Melano ke Lawas di Sarawak dan dari Sindumin ke Tawau di Sabah dijangka siap menjelang 2021.

Kedua-dua pemimpin juga mengulangi kepentingan kerjasama pertahanan demi memelihara keamanan dan kestabilan berikutan cabaran dan ancaman keselamatan yang meningkat di rantau ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Malaysia. - Gambar Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Malaysia. – Gambar Infofoto

Mereka menyatakan perasaan berpuas hati dengan kerjasama bilateral yang wujud di bidang pertahanan, yang terus kukuh menerusi mesyuarat, pertukaran pandangan, pertukaran lawatan yang kerap, kursus latihan dan eksesais tentera antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mereka mengambil perhatian terhadap penglibatan kerjasama yang selesa antara ABDB dan ATM dan memuji usaha yang menyumbang kepada pemeliharaan keamanan dan kestabilan antarabangsa, khususnya di bawah seliaan Pasukan Interim Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan dan Pasukan Pemantau Antarabangsa di selatan Filipina.

Kedua-dua pemimpin juga mengambil perhatian bahawa pegawai-pegawai Brunei dan Malaysia kini sedang membincangkan perkara berhubung kerjasama perikanan dan menggalakkan mereka menyelesaikan perbincangan dengan cepat.

Menurut kenyataan bersama itu, mereka juga menggesa Kumpulan Kerja Pelancongan Brunei Darussalam-Sarawak meningkatkan kerjasama dan kolaborasi dalam bidang aksesibiliti dan kesaling-hubungan, pemasaran dan promosi serta keselamatan dan sekuriti.

Baginda Sultan dan Datuk Seri Mohd Najib turut menyatakan sukacita dengan ketibaan jumlah pelancong yang menggalakkan di kedua-dua negara dan menggesa pegawai-pegawai mengukuhkan lagi kerjasama pelancongan.

Kedua-dua pemimpin juga berpuas hati dengan usaha kedua-dua negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit seperti virus Zika.

Mereka menggesa diteruskan komitmen pasukan teknikal bersama dalam mempercepat usaha untuk menyelesaikan penandaan dan ukur tanah sempadan antara Brunei dan Malaysia, khususnya di kawasan keutamaan. – Bernama