Lebuh raya runtuh, dua cedera

Lebuh raya runtuh, dua cedera

LOS ANGELES, 20 Julai – Dua orang tercedera selepas bahagian tinggi sebuah lebuh raya di selatan California runtuh lewat semalam di tengah-tengah turunan hujan yang sangat lebat, menurut para pegawai.

Kedua-dua mereka mendapat kecederaan apabila kenderaan mereka melalui bahagian jalan raya itu ketika ia runtuh.

Salah seorang yang tercedera berupaya berjalan meninggalkan tempat kejadian, manakala seorang lagi dikeluarkan dari kereta oleh krew kecemasan ketika serpihan dan asfalt terjatuh ke atas kenderaan, yang sebahagianya telah tenggelam dalam air, menurut seorang jurucakap wanita di Jabatan Bomba Wilayah Riverside.

Kereta itu terpaksa diselamatkan dengan diikat untuk menghalangnya daripada dihanyutkan dan mangsa kemudian dibawa ke hospital berhampiran.

Tujuh belas anggota bomba terlibat dalam misi menyelamat selepas kejadian runtuh itu, yang berlaku di Interstate-10 yang menghubungkan California dengan kawasan berhampiran, Arizona.

Jurucakap wanita itu berkata kejadian runtuh itu mungkin berpunca dari turunan hujan lebat kebelakangan ini.

“Hujan turun dengan lebat di sini,” dia memberitahu AFP. Dia menambah kata jalan raya akan terus ditutup bagi tempoh tidak pasti.

“Kedua-dua hala Interstate-10 akan ditutup bagi tempoh masa lama,” katanya lagi. Peronda Lebuh Raya California akan menyiasat punca kejadian ini. – AFP