Lebuh raya Telisai-Lumut dibuka

Lebuh raya Telisai-Lumut dibuka

Oleh Sim Y. H. dan Normazlina M.D

 

TUTONG, 28 Jun – Lebuh raya Telisai-Lumut sepanjang 18.6 kilometer dibuka secara rasmi hari ini, sekali gus melengkapkan sepenuhnya rangkaian lebuh raya dari Pekan Muara ke Kuala Belait.

Perasmian lebuh raya terbaru yang menelan belanja $168 juta itu disempurnakan oleh Pemangku Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohammad Roselan bin Haji Mohammad Daud.

Turut hadir pada majlis ringkas berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Sebelum perasmian, Dato Paduka Haji Mohammad Roselan diberikan penerangan mengenai projek pembinaan lebuh raya dan skop kerja pembinaan oleh Jurutera Kanan, Darussalam Enterprise (DARe), Simon Tsen Kheng Voon.

Pembinaan lebuh raya berkembar yang menghubungkan Telisai dan Lumut itu di harap akan meningkatkan hubungan di antara Bandar Seri Begawan dan Daerah Belait serta mengurangkan kesesakan di jalan Lumut yang sedia ada terutama semasa waktu pagi atau lewat petang.

Projek Lebuh Raya Telisai–Lumut itu dihasratkan dapat meningkatkan lagi keselamatan jalan raya khususnya bagi pengguna jalan raya serta menyediakan hubungan jalan berkembar di antara Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Dato Paduka Haji Mohammad Roselan memotong reben merasmikan pembukaan Lebuh raya Telisai-Lumut.
Dato Paduka Haji Mohammad Roselan memotong reben merasmikan pembukaan Lebuh raya Telisai-Lumut.
Lebuh raya Telisai-Lumut yang mula dibuka bagi kegunaan orang ramai, kelmarin.
Lebuh raya Telisai-Lumut yang mula dibuka bagi kegunaan orang ramai, kelmarin.

Projek tersebut turut membabitkan pembinaan enam buah jambatan di sepanjang jalan berkenaan dan jalan penghubung Sungai Paku sepanjang 3.4 kilometer yang menghubungkan Sungai Paku kepada Jalan Tutong-Seria yang sedia ada.

Pembinaan lebuh raya berkenaan bermula pada 16 Februari 2010 dan selesai pada 31 Mei 2016 walaupun kerja-kerja pembinaan mengalami beberapa masalah dan cabaran yang tidak dapat dielakkan.

Projek itu dilaksanakan oleh kontraktor tempatan, Surati Construction dengan kerjasama Communication Construction Company (CCC) Third Harbour Engineering Co.Ltd (THEC) dari China serta diselia oleh syarikat perunding tempatan, Jurutera Tempatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, dianggarkan kira-kira 80 peratus kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan dijalankan oleh syarikat-syarikat berdaftar Brunei yang bersamaan kira-kira $110 juta daripada jumlah keseluruhan kontrak yang merangkumi kerja-kerja tanah, rawatan asas (foundation treatment), ‘piling’ dan pembekalan bahan seperti batu, bitumen dan simen.

DARe berkata, sebagai usaha untuk meningkatkan keselamatan lebuh raya itu, langkah-langkah keselamatan tambahan turut dilaksanakan sebelum pembukaan lebuh raya itu, berdasarkan kepada pemeriksaan yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Lalu lintas Kebangsaan Brunei.

Pada masa yang sama, para pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi semua papan tanda-papan tanda lalu lintas, had laju serta sebarang lencongan di kawasan persimpangan Telisai dan Lumut.

ARTIKEL YANG SAMA