Lebuhraya Pan Borneo bukti kesungguhan kerajaan – Najib

Lebuhraya Pan Borneo bukti kesungguhan kerajaan – Najib

SERIAN, Sarawak, 13 Mac (Bernama) – Lebuhraya Pan Borneo bernilai lebih RM16 bilion menjadi bukti kesungguhan kerajaan melaksanakan segala janjinya agar Sarawak dan Sabah maju seiring dengan hasrat Malaysia menuju era negara maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apa yang perlu adalah kesinambungan dalam pentadbiran negeri supaya segala usaha kerajaan Pusat untuk memajukan penduduk tempatan dapat diteruskan.

Beliau berkata lebuh raya itu bukan sahaja satu hadiah kepada Sarawak, tetapi juga satu testimoni kepada tekad kerajaan untuk melaksanakan segala janjinya dalam pilihan raya.

Datuk Seri Najib Tun Razak melihat batu tanda jarak Bulatan Serian-Simpang Pantu pada majlis permulaan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Bulatan Serian ke Simpang Pantu kelmarin. - Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak melihat batu tanda jarak Bulatan Serian-Simpang Pantu pada majlis permulaan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Bulatan Serian ke Simpang Pantu kelmarin. – Bernama

Berucap di majlis pelaksanaan permulaan kerja-kerja pembinaan Projek Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran dari bulatan Serian ke persimpangan Pantu di sini hari ini, beliau berkata walaupun harga komoditi utama negara jatuh ketika ini, atas tekad untuk menunaikan janji kepada rakyat Sarawak, projek lebuh raya itu tetap diteruskan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,325 kilometer merupakan tulang belakang kepada perhubungan di Borneo, bermula dari Telok Melano di Sarawak sehingga ke Tawau di Sabah, dengan pakej jajaran bulatan Serian-Simpang Pantu sepanjang 75 kilometer sebagai sebahagian daripada pakejnya.