Lebuhraya Pan Borneo siap 2023

Lebuhraya Pan Borneo siap 2023

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) – Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak sepanjang 1,090 kilometer (km) dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lapan tahun dan beroperasi sepenuhnya pada awal 2023, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata projek itu terbahagi kepada dua fasa dan fasa pertama melibatkan laluan dari Telok Melano-Sematan-Kuching-Serian-Sibu-Bintulu-Miri telah bermula pada 31 Mac lalu.

Menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini katanya, pembinaan awal melibatkan jajaran dari Persimpangan Jalan Nyabau ke Persimpangan Jalan Bakun sepanjang 43 km dengan harga kontrak sebanyak RM638 juta.

Wong ingin mengetahui tentang tahap pembinaan dan peningkatan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak.

“Projek kedua pula melibatkan laluan dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km yang telah dilancarkan pada 1 Sept lalu dengan harga kontrak RM580 juta.

“Segmen-segmen lain untuk fasa pertama sedang dalam peringkat proses tender pra-kelayakan dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2016,” katanya.