Ledakan digital di Sukan SEA ke-28

Ledakan digital di Sukan SEA ke-28

SINGAPURA, 19 Mei – Peminat temasya Sukan SEA ke-28 bakal merasai ledakan dunia digital sepenuhnya pada edisi ke-28 dengan mengikuti setiap detik temasya itu, baik di dalam dan luar rumah mahupun di venue pertandingan.

Ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh pihak penganjur untuk meraikan aksi atlet dan menyatupadukan masyarakat menerusi temasya ini tanpa mengira sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar Singapura. Sukan SEA akan berlangsung dari 5 hingga 16 Jun ini.

Hasrat ini akan menjadi kenyataan apabila platform digital digunakan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) untuk membawa temasya sukan dwitahunan itu ke seluruh pelusuk rantau ini.

“Menjadikan temasya sukan ini dapat diakses kepada seberapa banyak orang yang mungkin sentiasa menjadi keutamaan SINGSOC. Usaha luar biasa telah dilakukan bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai dengan merangka platform baharu untuk meningkatkan pengalaman peminat menerusi dunia digital.

2013_09_04_Emblem_Wordmark_Manual

“Saya amat teruja untuk melihat respons orang ramai kerana dapat menonton dan berinteraksi temasya ini menerusi kaedah yang sama sekali baharu melalui peranti digital,’ kata Pengerusi SINGSOC, Lim Teck Yin pada majlis pelancaran dunia digital itu di sini hari ini.

Aplikasi mudah alih TV Sukan SEA, yang pertama dalam sejarah temasya itu, boleh diakses daripada mana-mana peranti mudah alih pintar atau tablet untuk iOS dan Android.

Aplikasi skrin kedua adalah tambahan baharu kepada gedung digital Sukan SEA dan akan menjadi aplikasi liputan interaktif berbilang kamera yang pertama dibangunkan dalam sukan berbilang acara.

Penggunaan sehingga 16 buah kamera untuk menampilkan lapan acara sukan menawarkan pengalaman tontonan secara dekat dan jauh dan ia boleh dimuat turun secara percuma mulai Isnin ini.

Harbans J Singh, daripada 21C Digital, menyatakan rasa gembira apabila aspirasi digital SINGSOC sudah bersedia untuk membuahkan hasil.

“Perjalanan mulai daripada konsep sehingga hasilnya kini adalah sesuatu yang luar biasa dalam menjadikan temasya ini sebagai alam digital paling inovatif dalam sejarah Sukan SEA,” katanya.

Dinding sosial pengguna dalam laman web rasmi Sukan SEA, SEAGames2015.com akan menampilkan semua baharu iaitu kandungan foto dan video dicipta terutama oleh wartawan sukarela daripada pasukan NILA.

Sukan SEA akan disiarkan secara langsung menerusi saluran rasmi ‘You Tube Sukan SEA’ dengan menampilkan 17 sukan berbeza serta acara perasmian dan penutupan dengan jumlah siaran secara langsung selama 600 jam.

Acara kemuncak dan detik-detik keemasan pada setiap hari boleh dikuti menerusi You Tube kepada mereka yang terlepas siaran langsung itu.

Singapura menjadi tuan rumah Sukan SEA kali ini sempena ulang tahun ke-50 negara itu. Temasya kali ini akan disertai lebih 7,000 atlete dan pegawai daripada 11 negara dalam 36 jenis sukan dipertandingkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA