Ledakan Jesus benam Ecuador

Ledakan Jesus benam Ecuador

QUITO, 2 Sept – Dua jaringan pemain muda Gabriel Jesus membolehkan Brazil untuk mencatatkan kemenangan kelayakan pertama di Ecuador semalam untuk menghidupkan semula kempen kelayakan gergasi Amerika Selatan itu pada Piala Dunia 2018.

Jesus, yang menyertai pasukan Inggeris Manchester City dari Palmeiras Ogos lalu, menggariskan statusnya sebagai salah satu bakat yang menyerlah dalam bola sepak Brazil dengan dua jaringan lewat ketika jurulatih baru Tite bermula dengan kemenangan 3-0.

Penyerang berusia 19 tahun itu juga memainkan peranan penting dalam jaringan pembukaan Brazil dengan memenangi sepakan penalti yang disudahkan oleh pemain bintang Neymar pada minit ke-72.

Neymar, wira pemenang pingat emas bola sepak Olimpik Brazil bulan lalu, dibayangi rakan penyerangnya itu yang membuat kemunculan senior pertamanya.

Jesus memenangi sepakan penalti bagi gol pertama selepas meluru ke kawasan penalti dan dikasari oleh penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez. Pengadil perlawanan dari Paraguay, Enrique Caceres tidak membuang masa dalam menujukkan ke arah sepakan penalti sebelum Neymar melangkah untuk menjaringkan gol.

Jesus (kanan) meraikan kemenangan menentang Ecuador dalam aksi kelayakan Piala Dunia di stadium Atahualpa di Quito, kelmarin. – AFP
Jesus (kanan) meraikan kemenangan menentang Ecuador dalam aksi kelayakan Piala Dunia di stadium Atahualpa di Quito, kelmarin. – AFP

Jesus, seorang lagi pemain dalam kemenangan Brazil di Olimpik, kemudian menggandakan pendahuluan Brazil tiga minit sebelum tamat dengan penyudah menarik selepas hantaran leret Marcelo dari sudut kiri.

Bisa Jesus semakin menjadi pada masa penamat apabila meluru menentang pertahanan Ecuador dengan meledakkan sepakan melencong ke atas gawang untuk jaringan 3-0.

Kejayaan itu adalah kemenangan pertama Brazil dalam apa yang dilihat kempen kelayakan mengecewakan setakat ini, dengan juara dunia lima kali itu berada di tangga keenam, di luar kelayakan automatik sebelum perlawanan semalam.

Jurulatih Brazil, Tite, yang mengambilalih dari Dunga selepas penyingkiran pusingan pertama yang memalukan pada Copa America Jun lalu, memuji kerja berpasukan Selecao. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA