Lee Chong Wei kembali nombor satu dunia

Lee Chong Wei kembali nombor satu dunia

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Selepas melalui episod getir dalam kerjaya badminton, jaguh Malaysia, Lee Chong Wei kembali merampas gelaran pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia hari ini.

Menurut laman web rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Chong Wei mendahului ranking dunia selepas memenangi Kejohanan BWF Siri Super Terbuka Indonesia, pada Ahad lepas.

Chong Wei yang mengumpul 94,453 mata, mengatasi dua jagoan dari China, Cheng Long dan Lin Dan yang masing-masing meraih 88,944 dan 75,388 mata.

“Sebenarnya saya tidak menjangka saya mampu untuk mendapatkan semula ranking nombor satu dunia. Selepas isu doping, saya hanya menyasarkan untuk berada dalam kedudukan empat terbaik sahaja.

“Semestinya ia (kedudukan pemain nombor satu dunia) sesuatu yang akan memberi sokongan moral kepada saya,” kata pemain berusia 33 tahun itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Gambar fail – Lee Chong Wei kini disahkan sebagai pemain nombor satu dunia sekali lagi. – Bernama
Gambar fail – Lee Chong Wei kini disahkan sebagai pemain nombor satu dunia sekali lagi. – Bernama

Chong Wei ketika ini berada di Australia dan menjalani rutin fisioterapi bersama skuad badminton yang sedang menyertai Kejohanan BWF Siri Super Terbuka Australia, sebelum kembali ke sini untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik.

“Sambil menjalani fisioterapi, saya mahu berehat sebentar daripada latihan di sini (Australia),” katanya.

Selepas dikenakan penggantungan selama lapan bulan kerana gagal ujian doping pada Ogos 2014, beliau kembali beraksi di pentas antarabangsa di ranking ke-46 dunia pada Mei 2015.

Chong Wei membantu pasukan badminton negara pada Piala Sudirman (10-17 Mei 2015), kejohanan badminton pertamanya, serta di Terbuka Amerika (16-21 Jun 2015) dan Kanada (23-28 Jun 2015), dan kedudukannya naik kepada ranking ke-44 dunia.

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2015, hasrat Chong Wei untuk meraih kejuaraan dunia sekali lagi tidak berhasil selepas kalah kepada Chen Long pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia dan prestasi beliau selepas itu turun mendadak dengan tersingkir awal pada Terbuka Jepun, Korea dan Denmark.

Namun beliau kembali gagah apabila memenangi Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Perancis (25 Okt 2015), gelaran Terbuka China (15 Nov 2015) buat pertama kali dan kemudian memenangi Terbuka Hong Kong (22 Nov 2015) hingga mampu berada di kedudukan kelima dunia setakat 17 Dis tahun lepas.

Tahun ini, Chong Wei terus gah melangkah dan memperbaiki ranking beliau selepas memenangi Masters Malaysia, Terbuka Malaysia, Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Indonesia.

“Kejayaan saya menewaskan Lin Dan dan Cheng Long di gelanggang mereka sendiri di Terbuka China dan Kejohanan Badminton Asia juga memberi semangat. Saya dapat menilai kemampuan saya,” katanya.

Menurut Chong Wei, beliau tidak mahu mendabik dada dan leka dengan kejayaan merampas semula kedudukan selaku pemain nombor satu dunia sebaliknya mahu terus memberikan persembahan terbaik khususnya pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada Ogos ini.

“Sebelum ini saya pernah berada di kedudukan nombor satu dunia untuk tempoh 199 minggu. Selepas isu doping, saya kena bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan saya. Ia bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA