Lee Chong Wei lega

Lee Chong Wei lega

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Reuters) – Hadiah kemenangan menjuarai Terbuka Kanada tidak mampu menampung tiket penerbangan pulang Datuk Lee Chong Wei ke Malaysia, namun bekas pemain nombor satu dunia itu lega sekali lagi bergelar juara.

Kemenangan di Calgary, semalam meneruskan rentak cemerlang pemain itu di New York seminggu sebelumnya dan sekalipun ia sekadar kejayaan bertaraf bertaraf rendah Grand Prix, ia berjaya merubah perspektif pemain berusia 32 tahun itu.

Chong Wei kembali aktif beraksi selepas menghabiskan tempoh penggantungan akibat doping selama lapan bulan, bulan lalu untuk memperbaiki kedudukan ranking dunianya.

“Saya memenangi AS$3,750 (RM14,162) untuk kejayaan hari ini (semalam). Ia tidak cukup untuk menampung penerbangan namun ia bukan berkaitan duit. Adalah perasaan yang menakjubkan untuk sekali lagi menjadi juara,” kata Chong Wei dipetik media tempatan.

“Sebelum penggantungan, saya adalah pemain nombor satu dunia untuk tempoh beberapa tahun. Saya tidak kisah sekalipun saya tewas. Di AS dan Kanada, saya perlu menang untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia saya dan ia amat mencabar dari sudut mental.

“Ia adalah perjalanan pertama saya pada Terbuka AS dan Kanada. Malah saya turut bergelut dengan perbezaan zon masa. Saya bermain dalam 12 perlawanan dalam tempoh dua minggu.

“Ia berbaloi. Saya gembira berjaya mengharunginya selepas hanya berada di rumah untuk beberapa bulan tanpa sebarang kejohanan,” katanya.

Pada aksi final di Calgary, Chong Wei yang berdepan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long diheret beraksi dalam permainan tiga set sebelum mencatat kemenangan.

Jurulatihnya, Hendrawan dipetik berkata Chong Wei mungkin mengalami kepenatan mental.

Bermula kempen di kedudukan ranking ke-180 dunia selepas penggantungannya berakhir, bulan lalu, kemenangan menyaksikan Chong Wei memperbaiki rankingnya di kedudukan 60 terbaik dunia.

Jaguh badminton negara itu selepas ini dijadualkan beraksi di Terbuka Taiwan, bulan depan, kejohanan yang turut disertai pemain nombor satu dunia, Cheng Long dan musuh tradisinya, Lin Dan.

“Saya akan bermain di Terbuka Taiwan sekalipun isteri saya dijangka melahirkan anak kedua kami dalam tempoh itu. Saya perlu bermain di Taiwan untuk meraih mata ranking dunia yang penting.

“Ia akan membantu saya untuk layak beraksi dalam kejohanan pertama Siri Super saya tahun ini (September),” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA