Lee mula pendakian ke kem satu Everest

Lee mula pendakian ke kem satu Everest

KUALA LUMPUR, 22 April – Pendaki lelaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng yang menyertai “Lions Mount Everest Expedition” (MEE) 2016, pada Jumaat memulakan pendakiannya ke Kem Satu Everest yang terletak pada ketinggian 6,000 meter dari paras laut.

Lee berkata pendakian untuk ke kem berkenaan akan mengambil masa selama lima jam perjalanan dan terpaksa melalui laluan yang sukar.

“Ini berikutan laluan di kem itu dipenuhi dengan ais glasier, berbatu dan bercuram. Saya kena melaluinya dengan penuh berhati-hati kerana laluan di atas sana licin.

“Selepas saya sampai di atas (Kem Satu Everest) saya akan turun semula ke Kem Induk Everest (EBC) pada hari yang sama, kemudian bermula balik dari EBC ke Kem Dua Everest dan balik semula ke EBC,” kata Lee yang kini berada di EBC, ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata proses yang sama akan dilakukan untuk ke Kem Tiga dan Empat Everest secara berperingkat untuk melatih diri berada di tempat paling tinggi.

James Lee Chong Meng, 68, (tengah) bergambar bersama Sherpa profesional selepas melakukan upacara ‘Pooja’ sempena Ekspedisi Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016, kelmarin. – Bernama
James Lee Chong Meng, 68, (tengah) bergambar bersama Sherpa profesional selepas melakukan upacara ‘Pooja’ sempena Ekspedisi Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016, kelmarin. – Bernama

Ekspedisi anjuran Lions Club International District 308 B1 itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat dan memperlihatkan semangat ‘Malaysia Boleh’.

Bekas jurutera itu berkata latihan pendakian akan dibuatnya secara berulang kali di kem-kem berkenaan untuk menyesuaikan diri, sebelum mendaki ke puncak Everest, yang dijangka bulan depan.

Mengenai tahap kesihatan dan kecergasannya, Lee berkata keadaan dirinya sihat dan bersemangat manakala cuaca di sana dilaporkan cerah.

Beliau yang mula mendaki gunung sebagai hobi semasa berusia 40-an, telah mendaki beberapa gunung termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal.

Lee memulakan impian menakluki Gunung Everest setinggi 8,848 meter sejak 31 Mac lepas dan dijangka mencapai misinya dalam masa 70 hari.

Turut menyertai pasukan pendakiannya ialah dua sherpa profesional – Ngaa Tenji, 33, dan Ang Temba, 44. – Bernama