Lega akhirnya

Lega akhirnya

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 27 Nov – Dua adik-beradik menarik nafas lega apabila cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading di Malaysia tercapai dengan adanya bantuan biasiswa penuh daripada sebuah syarikat tempatan hari ini.

Dayang Nurulalaina dan Dayang Noralaina binti Haji Yahya yang sebelum ini bertungkus-lumus mencari sokongan atau memohon biasiswa daripada beberapa buah organisasi, akhirnya menerima berita gembira daripada Syarikat Sahid Sdn Bhd yang sudi memberikan biasiswa kepada kedua-duanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan mereka.

Kedua-duanya yang lulus Sijil Diploma Kebangsaan dalam bidang Bioteknologi di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sekolah Vokasional Wasan pada mulanya hampir berputus asa kerana sebahagian syarikat yang dipohon mensyaratkan mereka mendapat Pangkat A atau lebih tinggi dalam Diploma Kebangsaan, namun abang mereka mencadangkan menulis surat kepada Syarikat Sahid Sdn Bhd dan akhirnya mendapat jawapan yang menggembirakan mereka berdua.

Dengan biasiswa itu, sedikit sebanyak akan membantu mereka dalam pengajian kelak kerana bapa mereka kini sudah bersara daripada pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dan menanggung 11 anaknya.

pg01_151128_a

Mereka akan memulakan pengajian selama tiga tahun bermula penghujung bulan ini di Universiti Pengurusan dan Sains di Selangor, Malaysia, yang mana Dayang Noralaina akan mengambil Sarjana Muda Sains Perubatan manakala Dayang Nurulalaina pula melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Sains Bio Perubatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat Sahid Sdn Bhd, Pengiran Haji Adanan bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail berkata, syarikat menawarkan biasiswa merangkumi perbelanjaan dalam pengajian, penginapan dan elaun kedua-dua pelajar itu tanpa sebarang syarat.

“Mereka tidak akan terikat dengan cara apa sekali pun dengan syarikat, kerana ini merupakan sumbangan semula syarikat kepada masyarakat selepas memperolehi tawaran kontrak dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Menurutnya, syarikat akan terus memberikan sokongan kepada rakyat yang memerlukan, demi bakti kepada negara dan berharap belia-belia negara ini akan memainkan peranan untuk menyumbang kepada kemajuan negara.