Legenda Liver...

Legenda Liverpool diberi penghargaan

LONDON, 13 Jan – Legenda Liverpool, Steven Gerrard dijadual untuk menerima anugerah penghormatan ‘Freedom of the City’ atas kerjaya cemerlangnya bersama kelab gergasi Inggeris itu.

Gerrard, 36, mengemudi Liverpool untuk menjuarai Liga Juara-Juara dan Piala FA selaku kapten yang lahir daripada akademi kelab itu sendiri dan menjadi antara pemain yang paling disayangi The Reds.

Pemain tengah kelahiran Merseyside itu, bermain 710 kali sepanjang 17 tahun bersama Liverpool dan telah memenangi sembilan trofi kejuaraan sebelum menyertai kelab Amerika Syarikat (AS) LA Galaxy pada tahun 2015.

Gerrard kini kembali ke tempat kelahirannya selepas mengharungi 18 bulan di AS dan dijadualkan untuk menerima penghargaan umum terbesar bandaraya tersebut atas sumbangannya terhadap bola sepak antarabangsa dan kebangsaan, selain daripada kerja amal dalam membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh negara.

Gambar fail 25 Mei 2005, menyaksikan Steven Gerrard menjulang Piala Liga Juara-Juara bersama Liverpool. – AP
Gambar fail 25 Mei 2005, menyaksikan Steven Gerrard menjulang Piala Liga Juara-Juara bersama Liverpool. – AP

Gerrard, yang mempunyai 114 penampilan bersama England, akan dicalonkan oleh Datuk Bandar Joe Anderson dan keputusan itu kelihatannya akan dipersetujui secara rasmi ketika mesyuarat majlis bandaraya itu minggu depan.

“Saya terkejut dan terharu apabila mendengar nama saya disuarakan oleh datuk bandar untuk menerima penghargaan ini,” kata Gerrard dalam laman sesawang Liverpool.

“Liverpool adalah bandar di mana saya tinggal dan untuk dihargai seperti ini membuatkan saya tidak dapat berkata-kata. Untuk berfikir mendapat anugerah ini menjadikan saya amat rendah diri dan sudah tentu amat berbangga.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA