Legenda Red Bull pemandu pertama V8 di trek KL GP

Legenda Red Bull pemandu pertama V8 di trek KL GP

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pemandu legenda The Red Bull Racing Australia, Craig Lowndes bersedia untuk mengambil penghormatan sebagai pemandu V8 Supercar pertama dalam sesi latihan KL City Grand Prix yang julung kali diadakan, esok.

Juara tiga kali V8 Supercar itu berkata beliau gembira untuk menunjukkan persembahan terbaik bagi peminat di Malaysia dengan jenteranya 888 Red Bull Holden dan menangani litar jalan yang mencabar dengan kelajuan yang boleh mencapai sehingga 250km/j.

“Saya berharap untuk menetapkan tanda aras dengan pusingan terpantas di sini. Lima pemandu sudah bercakap mengenainya. Kita sebagai pemandu perlumbaan setiap kali kita memakai topi keledar kita, kami mahu memenangi perlumbaan.

Craig Lowndes tampil sebagai pemandu V8 Supercar pertama dalam sesi latihan KL City Grand Prix, esok. – Reuters
Craig Lowndes tampil sebagai pemandu V8 Supercar pertama dalam sesi latihan KL City Grand Prix, esok. – Reuters

“Pada masa ini, apa yang berlegar di fikiran adalah tentang siapa yang akan mencatat masa terpantas, jadi tidak ada keraguan bahawa hujung minggu ini adalah sangat penting,“ kata pemandu berusia 41 tahun itu. Lowndes, kini menduduki tempat kedua dalam kejohanan ini dan satu-satunya pemandu yang mempunyai pencapaian 100 kemenangan dalam sejarah sukan, berharap pengetahuan dan kebijaksanaan sebagai pemandu yang paling berpengalaman akan membantu beliau untuk menangani litar baharu.

“Rasa gembira dapat datang ke litar baharu. Kami tidak mendapat data sebelumnya dan akan bergantung kepada input pemandu untuk membawa kereta itu secepat yang boleh,” katanya.

Sementara itu, pemilik pasukan Roland Dane berkata perlumbaan di Malaysia akan menjadi langkah yang penting untuk pertumbuhan siri V8 Supercar di luar Australia. – Bernama