Legenda tersisih

Legenda tersisih

MILTON KEYNES, England, 2 Feb – Kapten Chelsea John Terry mencetus kegemparan terbaru kelmarin apabila mengumumkan dia akan meninggalkan Stamford Bridge hujung musim ini apabila kelab memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya.

“Saya memulakan perbincangan mengenai kontrak baru minggu lalu iaitu sebelum perlawanan menentang Arsenal dan nampaknya ia tidak akan disambung,” kata Terry, 35, kepada wartawan selepas kemenangan 5-1 pasukannya ke atas pasukan divisyen dua, Milton Keynes Dons pada pusingan keempat Piala FA.

“Ia tidak menjadi seperti yang saya impikan. Saya tidak dapat menamatkan karier di Chelsea. Ia akan berakhir di tempat lain dan memerlukan beberapa hari lagi untuk menentukannya.”

Terry membuat 696 penampilan bersama Chelsea dan dia kapten paling berjaya di kelab itu apabila menjulang empat gelaran Liga Perdana, lima Piala FA, tiga Piala Liga, Liga Juara-Juara 2012 dan Liga Europa 2013.

Dia disenaraikan sebagai salah seorang pemain dalam Pasukan Terbaik Tahunan oleh Persatuan Pemain Profesional (PFA) selepas mengetuai Chelsea menjulang Liga Perdana musim lalu tetapi aksinya musim ini tidak mencapai tahap yang dikehendaki hingga mengakibatkan pasukannya tergelincir ke kelompok bawahan.

John Terry ketika dalam satu perlawanan. Kapten Chelsea itu berkata beliau akan meninggalkan Stamford Bridge pada hujung musim ini.  – Reuters
John Terry ketika dalam satu perlawanan. Kapten Chelsea itu berkata beliau akan meninggalkan Stamford Bridge pada hujung musim ini. – Reuters

Dia kini berpeluang mengikut jejak rakan sepasukannya di England, David Beckham, Steven Gerrard dan Ashley Cole dengan berpindah ke Amerika Syarikat.

Namun pemain pertahanan tengah itu yang mengikat kontrak lanjutan setahun lalu, mahu menamatkan aksinya di Chelsea dengan menjulang Piala FA buat kali keenam selain mahu membantu Chelsea melonjak ke kelompok atasan liga. “Ini perjuangan terakhir saya dalam Piala FA dan saya mahu menamatkannya dengan cemerlang,” katanya.

“Ia akan menjadi pendorong saya dan saya mahu melakukannya, bukan dalam pertandingan ini saja tapi juga Liga Perdana.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA