Lehmann terlepas bayar denda besar

Lehmann terlepas bayar denda besar

BERLIN, 10 Nov – Bekas penjaga gawang Jerman, Jens Lehmann hari ini terlepas dari membayar denda AS$263,000, yang dikurangkan kepada 42,500 euro, apabila dia hadir ke mahkamah Bavarian atas dakwaan berkaitan dua insiden pemanduan berbeza.

Bekas pemain berusia 46 tahun itu pada awalnya didakwa kesalahan penindasan dan cubaan mencederakan seseorang selepas dituduh mencekik seorang pemandu ketika satu pertikaian di tepi jalan pada November 2014 di Starnberg, 30 kilometer selatan Munich.

Ditemani oleh dua orang peguam, Lehmann memberitahu mahkamah di Starnberg bahawa dia terasa terancam oleh pemandu itu ketika insiden di lebuh raya tersebut.

“Saya berasa dia mahu melanggar saya, saya berasa amat takut,” ujar bekas pemain Schalke, Borussia Dortmund dan Arsenal itu, yang kini bekerja sebagai pengulas sukan bagi sebuah stesen televisyen.

Namun pemandu dengannya berselisih memberikan keterangan yang berlawanan, mengatakan Lehmann melakukan brek mengejut, keluar dari kereta dan menjerit sesuatu dan memegang saya di leher.

Gambar fail – Jens Lehmann yang pernah menyarung jersi Arsenal terlepas membayar denda suku juta dolar atas dakwaan dua insiden pemanduan berbeza. – AFP
Gambar fail – Jens Lehmann yang pernah menyarung jersi Arsenal terlepas membayar denda suku juta dolar atas dakwaan dua insiden pemanduan berbeza. – AFP

Berdasarkan gajinya, Lehmann pada awalnya didenda hampir suku juta dolar bagi insiden itu di luar mahkamah, namun dia membuat rayuan atas keputusan tersebut, yang membawa perkara tersebut kepada pihak penghakiman.

Satu perjanjian di antara pembela dan pendakwa seterusnya membuatkan hakim menggugurkan kedua-dua dakwaan penindasan dan cubaan mencederakan hari ini.

Sebaliknya, Lehmann dikenakan denda 42,500 euro bagi insiden berlainan tahun lepas apabila dia gagal untuk memberikan maklumat lengkap dan meninggalkan tempat kejadian kemalangan.

Pada September 2015, Lehmann merupakan penumpang dalam sebuah kereta Mercedes di Munich yang berlanggar dengan kereta lain.

Dia memberikan alamat tidak lengkap kepada pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut dan menggelar dirinya ‘Gerhard Lehmaan’ menggunakan nama tengahnya. – AFP