Leiceister sasar juara

Leiceister sasar juara

LONDON, 6 Dis – Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri berkata dia hanya memikirkan mengenai sasaran untuk mengutip 40 mata bagi menjamin tempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris biarpun mereka kini di landasan terbaik untuk merangkul trofi kejuaraan.

Kemenangan 3-0 ke atas Swansea City, awal pagi tadi meletakkan The Foxes di tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata.

Hatrik Riyad Mahrez di Selatan Wales memastikan kemenangan Leicester sekali gus mengumpul 32 mata daripada 15 perlawanan.

“Kami hanya fikir mengenai pasukan kami sendiri dan mengumpul mata untuk mencapai sasaran kami agar kekal bersaing dalam saingan Liga Perdana Inggeris,” kata Ranieri yang juga bekas pengurus Chelsea.

Transformasi Leicester dapat dilihat sejak mereka di kedudukan bawah liga dengan hanya berbaki sembilan perlawanan musim lalu dengan kini mereka meneruskan proses pemulihan yang dimulakan ketika di bawah kendalian Nigel Pearson.

Mereka menang tujuh dan seri sekali dalam baki perlawanan musim lalu dengan satu kekalahan adalah di tangan juara liga, Chelsea.

Musim ini, mereka masih kebal dengan rekod tanpa kalah di laman lawan dengan keseluruhan rekod – sembilan menang, lima seri dan kalah sekali.

Jika mereka masih berada di atas Arsenal, Manchester City dan Manchester United selepas Krismas, Ranieri mungkin sudah boleh memikirkan untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas liga secara serius.

“Kini, kami berada di kedudukan sukar kerana masih ada Chelsea, Everton, Liverpool dan City. Jadi, adalah baik dapat melihat bagaimana kami memberikan reaksi untuk itu,” katanya. – Reuters