Leicester alihkan tekanan

Leicester alihkan tekanan

LONDON, 8 Feb – Tekanan kini tidak lagi terarah kepada Leicester City, sebaliknya pencabar kejuaraan lain dalam usaha untuk menghalang kelab itu daripada terus menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pengurus, Claudio Ranieri.

Bekas pengurus Chelsea itu tampak semakin yakin dan kenyataannya itu hadir selepas skuad bimbingannya mencatat kemenangan 3-1 ke atas satu lagi pencabar kejuaraan, Manchester City, Sabtu lalu.

“Pada awalnya, tekanan terarah kepada kami kerana sasaran kami pada awalnya adalah untuk kekal dalam Liga Perdana. Kini, tekanan adalah terhadap pasukan lain yang menghabiskan banyak wang untuk menjuarainya dan Liga Juara-juara.

“Adalah penting untuk kami terus memberi tumpuan dan tidak terbuai-buai dengan mimpi. Ia penting kerana buat pertama kali dalam hidup kami, mereka melakukan sesuatu yang istimewa.

“Adalah penting untuk melihat siapa yang berada di belakang kamu,” katanya. Kemenangan ke atas City membuka ruang jurang lima mata ke atas kelab di kedudukan kedua liga, Tottenham Hotspurs.

Mengulas mengenai kemungkinan pemainnya diganggu dengan tekanan, pengurus kelahiran Itali itu berkata, mereka boleh menggunakan pengalaman mengelak penyingkiran, musim lalu sebagai kelebihan.

“Tekanan, ia tidak akan menjadi masalah, namun adalah penting untuk kami kekal tenang. Apa yang mereka lalui musim lalu mungkin membantu kerana ia adalah tekanan yang besar untuk mereka,” katanya.

Leicester dijadual bertemu kelab di tangga ketiga, Arsenal, hujung minggu ini. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA