Leicester benam Man City 3-1

Leicester benam Man City 3-1

LONDON, 7 Feb (AFP) – Leicester City membawa ‘cerita dongeng’ mereka ke satu tahap lebih tinggi, semalam apabila melebarkan jurang di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada lima mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Manchester City.

Pertahanan tengah, Robert Huth menyumbangkan dua gol diikuti jaringan Riyad Mahrez ketika skuad dengan jolokan The Foxes itu merakam kemenangan terbaik dalam tempoh 12 bulan, daripada pasukan belasahan kepada pendahulu liga.

Kekalahan City turut menyaksikan Tottenham Hotspur merampas kedudukan kedua hasil kemenangan 1-0 ke atas Watford manakala Arsenal yang dijadual beraksi, malam ini turut boleh mengatasi skuad bimbingan Manuel Pellegrini itu andai menang ke atas Bournemouth.

“Terdapat banyak pasukan yang hebat sekarang. Kami akan cuba. Mengapa tidak,” kata pengurus Leicester, Claudio Ranieri yang selepas ini akan membuat kunjungan ke Emirates bertemu Arsenal, minggu depan.

“Usahanya adalah terlalu banyak. Namun ini apa yang penting ialah pemain-pemain dapat pulih kerana kami menghabiskan banyak tenaga. Kadangkala kami berlari lebih daripada lembu.

Aksi Robert selepas berjaya menjaringkan gol ketiga pada perlawanan menentang Manchester City. Robert berjaya menjaring dua gol, sekaligus membawa kemenangan kepada pasukannya. – Reuters
Aksi Robert selepas berjaya menjaringkan gol ketiga pada perlawanan menentang Manchester City. Robert berjaya menjaring dua gol, sekaligus membawa kemenangan kepada pasukannya. – Reuters

“Kami bermain setiap perlawanan sekuat perlawanan sebelum ini. Kini kami amat, amat yakin dan adalah penting untuk berfikir mengenai Arsenal. Kami sudah bersedia untuk bertarung di sana.”

Leicester berada di kedudukan tercorot EPL, setahun lalu dan tampak ditakdirkan untuk disingkirkan namun kini mereka berpeluang untuk melakar sejarah mengujakan dalam bola sepak Inggeris.

Huth membuka tirai jaringan seawal minit ketiga perlawanan menerusi sepakan percuma Mahrez sebelum menanduk gol ketiga Leicester yang berpunca daripada sepakan sudut Christian Fuchs pada minit ke-60.

Mahrez sebelum itu terus mengucar-kacirkan pertahanan City dengan meletakkan pelawat 2-0 di depan pada minit ke-48 dengan gol tunggal tuan rumah dijaringkan Sergio Aguero pada masa kecederaan, Pengurus City, Pellegrini yang akan digantikan dengan Pep Guardiola pada musim depan mengakui Leicester layak menang ke atas skuad bimbingannya namun dia masih belum mahu mengalah.

“Ada 39 mata lagi yang ditawarkan. Tiada apa yang berakhir,” kata Pellegrini di mana pasukannya dijadual bertemu Tottenham minggu depan.

“Penting untuk kami memulihkan kembali pemain-pemain kami dan saya tetap tidak akan berputus asa kerana kami mengharungi kekalahan yang tidak dijangka, kami perlu meneruskannya.”

Dalam perkembangan lain yang berkaitan Penyerang England, Jamie Vardy menandatangani kontrak baharunya bersama kelab pendahulu Liga Perdana Inggeris, Leicester City yang menyaksikannya kekal sehingga Jun 2019.

Berita itu melengkapkan keceriaan kem penyokong Leicester selepas skuad berkenaan melakukan kejutan menumbangkan Manchester City 3-1, sekali gus menyaksikan kelebihan lima mata di saingan teratas Liga Perdana Inggeris.

ARTIKEL YANG SAMA